MCE menang kontrak RM37.9 juta bekal komponen elektronik kepada Proton | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCE menang kontrak RM37.9 juta bekal komponen elektronik kepada Proton

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Jan – MCE Holdings Bhd menang kontrak bernilai kira-kira RM37.9 juta bagi membekalkan komponen elektronik dan mekatronik kepada pengeluar kereta nasional, Proton.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut dianugerahkan kepada dua anak syarikatnya, iaitu Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd dan MCE Hengtuo Sdn Bhd, dengan tempoh kontrak selama 84 bulan.

 

Pengeluaran bagi projek berkenaan dijadualkan bermula pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027, manakala jumlah kos pelaburan dianggarkan sekitar RM730,000.

 

Di bawah perjanjian itu, MCE akan membekalkan komponen elektronik automotif dan mekatronik untuk model baharu Proton, sekali gus mengukuhkan peranan kumpulan itu merentasi pelbagai platform kenderaan.

 

MCE berkata, projek tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan serta aset bersih sesaham sepanjang tempoh kontrak.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, pihaknya menghargai kepercayaan berterusan Proton terhadap keupayaan kumpulan itu sebagai rakan strategik jangka panjang.

 

“Kepercayaan yang diberikan ini mencerminkan hubungan kerjasama yang telah terjalin selama beberapa dekad serta keyakinan Proton terhadap keupayaan kami untuk memenuhi keperluan yang semakin mencabar,” katanya dalam makluman itu.

 

Menurut beliau, kekuatan MCE terletak pada keupayaan penyelidikan, pembangunan dan pembuatan dalaman yang membolehkan kumpulan itu menyokong pelanggan merentasi keseluruhan kitaran projek, daripada peringkat reka bentuk dan kejuruteraan sehingga pengeluaran.

 

“Ia membolehkan syarikat menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi, bekalan yang konsisten pada skala besar serta kecekapan kos,” katanya. - DagangNews.com