MBSB Research yakin pasaran buruh stabil, kadar pengangguran kekal 3% pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research yakin pasaran buruh stabil, kadar pengangguran kekal 3% pada 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 FebMBSB Research kekal optimis pasaran buruh Malaysia akan terus stabil pada 2026, dengan kadar pengangguran diunjurkan kekal kepada kira-kira 3.0%, dipacu sektor perkhidmatan. 


Firma penyelidikan tersebut berkata, pekerjaan jenis berkenaan yang kelaziman berorientasikan domestik terus dinilai mendapat sokongan daripada kekuatan perbelanjaan isi rumah secara mampan.


Keyakinan itu jelasnya, turut disokong oleh prestasi pasaran tenaga kerja yang kukuh pada Disember 2025 apabila kadar pengangguran kekal rendah kepada 2.9%, paras terendah dalam tempoh sedekad.


"Selain itu, kami menjangka pertumbuhan guna tenaga akan meningkat 3.0% tahun ke tahun (YoY) yang terus mengatasi pertumbuhan tenaga buruh kira-kira 2.8% YoY," kata MBSB Research dalam notanya.


Bagi keseluruhan 2025, kadar pengangguran purata tahunan di Malaysia berada pada 3.0%, yang juga lebih rendah berbanding sebanyak 3.2% pada 2024, selari dengan unjuran firma penyelidikan tersebut.


Jelasnya, pertumbuhan guna tenaga yang lebih pantas berbanding pertambahan tenaga buruh itu turut mencerminkan momentum pengambilan pekerja secara berterusan seiring pemulihan ekonomi domestik.


MBSB Research turut menjangkakan inisiatif kerajaan menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) akan menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan guna tenaga, khususnya dalam sektor perkhidmatan.


"Pelaksanaan pelbagai aktiviti pelancongan turut membantu banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain menyokong penggunaan domestik yang berdaya tahan," kata firma berkenaan.


Dari sudut permintaan buruh tambahnya, jumlah kekosongan jawatan meningkat kepada 125,000 pada Januari 2026, tertinggi sejak Mei 2025, dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan.


Dalam masa sama kata MBSB Research, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional dan inisiatif GEAR-uP dijangka berupaya mewujudkan lebih banyak potensi.


Perkembangan positif ini jelas firma penyelidikan berkenaan, termasuk peluang pekerjaan bernilai tinggi, dan keadaan positif itu turut membantu negara dalam menangani isu pengangguran belia.


"Kami namun berpandangan sektor berorientasikan eksport masih berdepan tekanan akibat ketidaktentuan global, namun kestabilan pasaran domestik dijangka menjadi penyerap," katanya. - DagangNews.com