MBSB Research turunkan 8% unjuran perolehan sektor pengguna disebabkan kesan perang di Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research turunkan 8% unjuran perolehan sektor pengguna disebabkan kesan perang di Timur Tengah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 Mac — Krisis di Timur Tengah beralih daripada sekadar risiko biasa kepada ancaman nyata apabila perang memasuki minggu kelima menjejaskan rantaian bekalan global termasuk Malaysia.


Menurut MBSB Research dalam nota analisisnya hari ini, situasi ketegangan di rantau itu memaksa firma penyelidikan tersebut menyemak semula unjuran perolehan syarikat sektor pengguna tempatan.


Gangguan di Selat Hormuz jelasnya, menyebabkan harga minyak mentah tinggi, kadar tambang, serta baja melonjak, yang meningkatkan kos perolehan dan logistik dalam rantaian bekalan pengguna.


"Justeru, kami menerapkan senario krisis sebagai asas baharu unjuran, dan mengandaikan konflik berlarutan enam minggu dengan purata harga minyak mentah pada AS$90 (RM360) setong," katanya.


Langkah berhati-hati ini tambah MBSB Research, menyaksikan semakan turun unjuran perolehan sektor pengguna antara -1.0% hingga -8.0% terhadap sejumlah 13 syarikat di bawah liputan firma tersebut.


Walaupun peningkatan ketegangan di Timur Tengah memperkenalkan rintangan kos nyata, ia percaya pemacu struktur yang menyokong perbelanjaan pengguna masih cukup mengekalkan pendirian sektor.


Daripada analisis tersebut katanya, syarikat yang paling terdedah kepada risiko ini termasuklah Padini dengan semakan turun perolehan sebanyak -8.0%, diikuti Aeon (-6.5%) dan Hup Seng (-6.4%).
 

pengguna


"Situasi tersebut berikutan tekanan terhadap margin dan perbelanjaan budi bicara, sebaliknya segmen barangan ruji dan peruncit nilai adalah kekal lebih berdaya tahan," ujar MBSB Research.


Sehubungan itu firma penyelidikan berkenaan menamakan antaranya PPB Group hanya mencatatkan impak -1.0%, diikuti MR DIY (-3.0%) dan Life Water (-3.2%) sebagai masih berpotensi dengan baik.


Meskipun berdepan dengan cabaran peningkatan kos luar jangkaan, ia mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor pengguna berdasarkan kepada asas penggunaan domestik yang dinilai masih kukuh. 


Kata MBSB Research, ini disokong oleh kadar guna tenaga yang stabil, inflasi teras terkawal, serta bantuan fiskal berterusan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


"Di samping itu, aliran kedatangan pelancongan antarabangsa yang bertambah baik ketika Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) turut menjadi pemangkin utama kepada sektor ini," jelasnya lagi.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa, firma tersebut menamakan Leong Hup International dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) sesaham RM1.07 atas daya tahan permintaan protein ruji.


MR DIY (beli, TP: RM2.13) dipilih MBSB Research, bagi model peruncitan nilai, dan 99 Speed Mart (beli, TP: RM4.37) pula mendapat manfaat daripada trend pengguna beralih kepada barangan murah.


Bagaimanapun, firma itu memberi amaran jika konflik terus meruncing kepada gangguan selama berbulan-bulan yang lebih serius, mereka akan menilai semula pendirian sektor tersebut. - DagangNews.com