MBSB Research: Saham Ta Ann mahal cetus persoalan kenaikan tidak berbaloi kepada pelabur baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research: Saham Ta Ann mahal cetus persoalan kenaikan tidak berbaloi kepada pelabur baharu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 April – Saham Ta Ann Holdings Berhad kini dilihat semakin mahal, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada potensi kenaikan harganya masih berbaloi kepada pelabur baharu.


Justeru, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM5.02 daripada RM4.47, serta mengambil kira penilaian semasa berbanding rakan setara industri.


Menurut firma penyelidikan itu, pergerakan harga saham kumpulan berkenaan secara sejarah memiliki kaitan rapat dengan harga minyak sawit mentah (MSM), di samping daya tarikan dividen konsisten.


“Penilaian semasa Ta Ann dilihat agak tinggi berbanding syarikat-syarikat setara lain yang masih belum dinilai semula kepada gandaan pendapatan dalam angka belasan rendah,” katanya dalam nota.


Dari sudut operasi ujar MBSB Research, kumpulan itu dijangka mencatat prestasi baik, disokong profil usia pokok semakin matang, dengan sebahagian besar ladang yang menghampiri usia 13 tahun.


Tambahnya, umur itu merupakan tahap optimum tandan buah segar (TBS), dan pengurusan menyasarkan pengeluaran melebihi 750,000 tan bagi FY26, dengan kawasan matang meningkat kepada 45,000 hektar.


Firma itu menjangka pertumbuhan pengeluaran TBS pada kadar tinggi, serta menyokong peningkatan keuntungan Ta Ann melalui kesan skala apabila kos tetap diagihkan kepada jumlah yang lebih besar.
 

Ta Ann_DagangNews


"Prestasi kukuh ini dilihat pada 4QFY25 apabila pengeluaran TBS dan MSM masing-masing naik 27.1% dan 40.2% tahun ke tahun (YoY), dengan keuntungan sebelum cukai lebih 80%," kata MBSB Research.


Dari segi kos, pengeluaran dianggarkan RM2,100 satu tan, dengan kenaikan harga diesel dijangka memberi kesan minimum di bawah 5%, manakala harga MSM diunjur hampir RM4,500 satu tan tahun ini.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran mengenai isu pengukuhan nilai ringgit yang berpotensi mengehadkan kenaikan harga produk sawit keluaran Ta Ann dalam mata wang tempatan.


Dalam pada itu, MBSB Research menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan ini bagi FY26, namun menurunkan anggaran bagi FY27 dan FY28 kepada masing-masing sebanyak RM204 juta dan RM194.1 juta.


"Kami mengambil kira andaian harga jualan purata (ASP) lebih konservatif, kadar perahan minyak (OER) dinormalisasi serta kos pengeluaran sedikit tinggi susulan kenaikan harga baja," katanya.


Secara keseluruhan, walaupun asas operasi Ta Ann kekal kukuh, faktor penilaian semasa dilihat menjadi kekangan utama kepada potensi kenaikan saham dalam jangka terdekat. - DagangNews.com