KUALA LUMPUR 4 Feb – MBSB Research masih mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas Sunview Group Berhad namun harga sasaran (TP) sesaham disemak turun kepada 32 sen daripada 40 sen sebelum itu.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan susulan prestasi kewangan bagi FY25 yang terus disifatkan sebagai mengecewakan serta kesan kemerosotan nilai aset berjumlah RM75.3 juta.
Ia merujuk keputusan diaudit selama tempoh 18 bulan yang menunjukkan penyimpangan secara ketara, apabila keuntungan bersih teras RM6.9 juta bertukar kepada kerugian bersih teras RM70.3 juta.
"Kejatuhan ini didorong terutama peruntukan kerugian ke atas aset kontrak sebanyak RM57.9 juta, peruntukan ke atas penghutang perdagangan dan lain-lain berjumlah RM17.4 juta," kata MBSB Research.
Menurutnya, keseluruhan amaun tersebut berkaitan dengan projek LSS4 milik PKNP Reneuco Suria Sdn Bhd, yang mencerminkan kos tenggelam ditanggung oleh Sunview sendiri sepanjang dua tahun lalu.
Kumpulan itu jelasnya, sebelum ini dianugerahkan subkontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pada Jun 2022 bagi pembangunan loji solar fotovolta 50MW bernilai RM179.5 juta.
Sebahagiannya, disiapkan pada April 2025, tetapi pensijilan kemajuan belum dimuktamadkan, kerana isu Reneuco yang dikelaskan sebagai syarikat bermasalah nota amalan 17 (PN17) pada Februari 2024.
Artikel berkaitan: Sunview: Dari untung RM7.86 juta ke rugi RM70.29 juta, tiada percanggahan kos kontrak
"Reneuco memegang 95% kepentingan dalam PKNP Reneuco, namun kegagalan memenuhi obligasi pembiayaan menyebabkan pelantikan penerima dan pengurus ke atas keseluruhan aset projek," kata MBSB Research.
Selain itu, firma tersebut turut mengambil maklum rancangan Sunview untuk mengemukakan tawaran pembelian aset solar ke atas projek berkenaan melalui proses tender oleh penerima dan pengurus.
Walaupun langkah ini bertujuan menyiapkan projek, ia berpandangan pengambilalihan loji separa siap itu pada harga RM70 juta secara tunai berpotensi memberi tekanan lanjut kepada kunci kira-kira.
Sunview jelas MBSB Research, kini mencatat gear bersih yang tinggi mencecah sebanyak 125.6%, namun cadangan itu dinilai berupaya mengembangkan portfolio aset solar kumpulan dalam jangka panjang.
"Dari segi buku tempahan, kumpulan tersebut kini ada tempahan belum dibilkan RM173.8 juta, yang disifatkan sebagai tidak mencukupi untuk menyokong pertumbuhan pendapatan secara mampan," katanya.
Sehubungan itu, firma berkenaan menjangkakan penganugerahan projek solar berskala besar (LSS) fasa 5 dan LSS5+ secara berperingkat mampu dalam membantu menambah buku tempahan kumpulan tersebut.
Sejajar dengan prestasi lebih lemah dan kekurangan projek baharu, MBSB Research menyemak turun unjuran keuntungan bersih Sunview bagi tahun hadapan masing-masing sebanyak 11.7% dan 12.7%.
Ia menurunkan TP, berasaskan perolehan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 1.7 sen pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 19 kali, iaitu diskaun berbanding syarikat solar berskala besar. - DagangNews.com








