KUALA LUMPUR 20 April — Kadar pengangguran berisiko meningkat kepada 3.5%, manakala ketibaan pelancong diramal merosot sehingga 15% susulan tekanan berterusan daripada konflik geopolitik.
Menurut MBSB Research, senario gencatan senjata 'rapuh' di Timur Tengah ketika ini berpotensi memberi kesan berpanjangan kepada ekonomi domestik melalui gangguan stok tenaga dan perdagangan.
Firma penyelidikan tersebut menambah lonjakan harga minyak mentah global sekiranya berlanjutan dikhuatiri memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sepanjang tahun ini.
"Dalam situasi 'ketegangan berpanjangan' itu, pertumbuhan KDNK dijangka sederhana kepada 3.8% hingga 4.0% pada 2026, lebih rendah berbanding jangkaan asas sebelum ini," jelasnya dalam nota.
Selain itu, MBSB Research menjangkakan inflasi meningkat sekitar 2.0% dengan risiko mencecah 2.5%, didorong kenaikan kos tenaga dan logistik, di samping potensi rasionalisasi subsidi bahan bakar.
Keadaan ini ujar firma berkenaan, dibimbangi boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna apabila isi rumah mula mengambil pendekatan lebih berjimat membeli barangan sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, gabungan kos tenaga khususnya minyak yang mahal, ketidaktentuan global dan pelarasan dasar domestik akan memberi tekanan kepada sentimen pengguna terutama yang berpendapatan rendah.
"Kami turut memberi amaran berhubung situasi pasaran buruh tempatan yang akan berdepan tekanan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan industri berorientasikan eksport," kata MBSB Research.
Kadar pengangguran jelasnya, dijangka meningkat daripada hanya 3.0% kepada antara kira-kira 3.3% hingga 3.5%, dengan risiko penurunan pengambilan pekerja akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Pada masa sama tambah firma penyelidikan berkenaan, pertumbuhan perdagangan runcit diramal sederhana kepada sekitar 4.4% hingga 4.9%, mencerminkan penyusutan perbelanjaan bukan keperluan.
Sektor pelancongan ujar MBSB Research, turut dijangka terjejas, apabila kenaikan harga bahan api jet meningkatkan kos penerbangan komersial dan menjejaskan permintaan bagi perjalanan jarak jauh.

"Sasaran kemasukan pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dilihat semakin mencabar, dengan jumlah pelawat berpotensi menurun berbanding 42.2 juta orang pada 2025," katanya.
“Ketidaktentuan geopolitik dan tambang penerbangan tinggi boleh menjejaskan segmen pelancong bernilai tinggi, sekali gus mengganggu sasaran 47 juta pelancong ditetapkan tahun ini,” jelasnya.
Menurut laporan analisis MBSB Research, ketegangan di Timur Tengah terutama sekatan pelayaran di Selat Hormuz kini menjadi faktor utama yang mempengaruhi harga minyak dan sentimen global.
Walaupun laluan tersebut masih dibuka secara teknikal, kawalan ketat dan segelintir insiden maritim masih menyebabkan berlaku gangguan berterusan kepada rantaian bekalan tenaga antarabangsa.
Dalam persekitaran kritikal ini, firma tersebut menyarankan pelabur agar memberi tumpuan kepada sektor defensif seperti minyak dan gas, utiliti, penjagaan kesihatan, REIT serta barangan pengguna asas.
"Sementara sektor tertentu seperti automotif, hartanah, teknologi dan pengangkutan pula dinilai sebagai neutral kerana lebih sensitif kepada faktor tekanan kos serta permintaan semasa," kata MBSB Research.
Secara keseluruhan, walaupun ekonomi Malaysia masih disokong oleh asas domestik, risiko luaran yang berpanjangan dijangka terus menguji daya tahan pertumbuhan negara sepanjang 2026. - DagangNews.com








