KUALA LUMPUR 21 Ogos – Maybank Islamic Bhd telah menandatangani perjanjian pembiayaan dua hala dengan Rising Gateway Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MB World Group Bhd bernilai sehingga RM635.6 juta untuk pembangunan MBW Innexus Industrial City di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong berkata, pembiayaan itu memberi MB World Group fleksibiliti dan pelbagai pilihan untuk memenuhi keperluan operasi serta infrastruktur mereka yang menjadi asas bagi pembangunan ekosistem bersepadu di MBW Innexus.
Projek MBW Innexus ialah pembangunan industri berat seluas 296.2 hektar di Tanjung Langsat, terletak di tengah-tengah Flagship D dalam JS-SEZ.
Fasa pertama projek yang melibatkan 13 lot industri dijangka siap pada suku kedua 2027 dengan keseluruhan pembangunan dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.025 bilion.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MB World Group, Datuk Rohman Ahmad berkata, MBW Innexus Industrial City adalah lembaran baharu yang berani untuk syarikat.
“Kami percaya pertumbuhan industri perlu disokong dengan infrastruktur, kesalinghubungan dan keselesaan hidup. Itu lah yang sedang kami bina, bukan sekadar kilang, sebaliknya ia adalah satu ekosistem berfungsi,” katanya.
MBW Innexus terletak hanya enam kilometer dari Pelabuhan Tanjung Langsat dan 14 km dari Pelabuhan Johor serta mempunyai akses mudah ke lebuh raya utama dan lapangan terbang antarabangsa termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Changi, Singapura.
Jarak strategik ini memastikan kelancaran logistik dan akses ke pasaran ASEAN serta global.
Sebagai sebahagian daripada JS-SEZ, projek ini turut mendapat sokongan dasar dan pemudahcaraan perniagaan daripada Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) yang meraih keyakinan pelabur dan perkembangan persekitaran industri yang kondusif. - DagangNews.com








