Maybank IB semak unjuran kadar pengangguran 2026 kepada 3% seiring perkembangan positif pasaran buruh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB semak unjuran kadar pengangguran 2026 kepada 3% seiring perkembangan positif pasaran buruh

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak semula unjuran kadar pengangguran bagi tahun 2026 kepada 3.0% daripada 3.1% sebelum ini seiring dengan jangkaan pasaran pekerjaan yang terus stabil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, seiring perkembangan positif pasaran buruh, unjuran kadar pengangguran purata bagi keseluruhan tahun 2025 dikekalkan pada 3.0%, lebih rendah berbanding 3.3% yang dicatatkan pada 2024. 

 

Menurut Maybank IB, keadaan pasaran buruh yang kekal sihat dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.9% pada November 2025 terus menyokong prospek pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta di Malaysia, sekali gus mencerminkan keadaan hampir guna tenaga penuh.

 

Menurut analisis ekonomi terkini, pertumbuhan penggunaan swasta bagi keseluruhan tahun 2025 diunjurkan kekal kukuh pada 5.1%, sejajar dengan prestasi sembilan bulan pertama 2025 (9M2025) yang mencatat pertumbuhan 5.1% tahun ke tahun, sama seperti kadar pertumbuhan yang direkodkan pada 2024.

 

Katanya, pertumbuhan tersebut didorong oleh momentum berterusan dalam pampasan pekerja, disokong oleh kenaikan gaji dan pembayaran bonus sektor swasta yang stabil.

 

Tambahnya, pelarasan gaji serta pencen penjawat awam, selain pemberian bantuan tunai kerajaan yang kekal pada paras tertinggi kepada isi rumah dan individu berpendapatan rendah juga membantu pertumbuhan itu.

 

"Gabungan faktor-faktor ini terus menyokong kuasa beli pengguna dan menjadi asas kepada pertumbuhan permintaan domestik yang mampan dalam persekitaran ekonomi semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata, walaupun jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat +34.1% YoY, ia menurun -1.4% MoM kepada 6,923 orang pada November 2025 (Oktober 2025: +2.5% YoY, +18.4% MoM, 7,019 orang). 

 

Bagi 11M2025, jumlah pemberhentian meningkat +25.7% YoY kepada 66,923 orang (11M2024: +31.9% kepada 53,248 orang). 

 

"Kadar pengangguran yang rendah dan jumlah penganggur yang semakin berkurang menunjukkan penempatan semula pekerja yang diberhentikan berjalan lancar," ujar firma itu.

 

Sementara itu, dalam kategori “Own Account Workers” — termasuk peniaga harian, penjaja, pengusaha gerai makanan, pekebun kecil, pekerja sendiri dan pekerja gig — terus meningkat sejak awal 2021, mencatat 3.26 juta orang pada November 2025 (Oktober 2025: 3.25 juta). 

 

Kumpulan ini membentuk sebahagian besar pekerjaan dalam sektor informal ekonomi negara. - DagangNews.com