Maxis terus berdepan kekurangan hasil pengguna mengehadkan potensi kenaikan harga saham — Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis terus berdepan kekurangan hasil pengguna mengehadkan potensi kenaikan harga saham — Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 AprilMaxis Berhad dijangka terus berdepan kekurangan hasil purata setiap pengguna (ARPU) berpanjangan, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga saham dalam tempoh terdekat.


Menurut Phillip Capital, peralihan berterusan daripada pelan prabayar kepada pelan pascabayar asas yang lebih murah dilihat masih menekan pertumbuhan ARPU, walaupun bilangan pelanggan meningkat.


Dalam analisisnya, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) sesaham RM3.64, setelah menilai ARPU kekal pada paras rendah sejarah sekitar RM42 pada 2025.


"Kami mendapati ARPU pascabayar Maxis menyusut kepada kira-kira RM63 susulan pengenalan pelan 5G peringkat permulaan serendah RM79 sebulan sejak separuh kedua 2023," katanya dalam nota hari ini.


Trend ini jelas Phillip Capital, dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, dan mengehadkan pemulihan margin kumpulan telekomunikasi itu walaupun pertumbuhan pelanggan adalah kekal stabil.


Bagi suku pertama 2026, syarikat itu dijangka mencatat keuntungan bersih teras sekitar RM390 juta, hampir mendatar berbanding suku sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan langganan mudah alih.


Selain itu ujar firma penyelidikan tersebut, sumbangan secara berterusan menerusi segmen gentian turut menjana perolehan, tetapi tekanan ARPU dijangka terus mengimbangi momentum pertumbuhan.


"Pada masa sama, prospek sektor telekomunikasi negara masih dipengaruhi ketidaktentuan berkaitan pelaksanaan rangkaian 5G negara, khususnya koordinasi dari pelbagai pihak," kata Phillip Capital.

 

Maxis_DagangNews


Selepas penyempurnaan opsyen jual kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada Mac 2026, Maxis bersama CelcomDigi dan YTL masing-masing memegang 33.33% kepentingan dalam Digital Nasional Berhad (DNB).


Kerjasama melibatkan tiga operator tempatan berkenaan tambahnya, dijangka meningkatkan kecekapan rangkaian teknologi itu melalui perkongsian tapak pemancar serta pengoptimuman kos perkhidmatan.


Dari segi perbelanjaan modal (capex) kata Phillip Capital, Maxis menetapkan intensiti hingga 12% bagi 2026, dengan 30% diperuntukkan untuk perluasan gentian dan 40% bagi pengembangan rangkaian.


"Kami turut menjangka pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) hanya pada kadar rendah, mencerminkan persekitaran persaingan yang sengit," katanya.


Walaupun begitu, kekuatan utama syarikat ini kekal pada profil dividen apabila mengumumkan dividen sesaham (DPS) 17.5 sen bagi 2025, tertinggi sejak 2020, dan dijangkakan 18 sen hingga 2028.


Angka pembayaran DPS tersebut jelas Phillip Capital, mewakili pulangan dividen sekitar 5%, iaitu lebih tinggi daripada purata ditetapkan pemain sektor telekomunikasi sendiri yang sebanyak 4.6%.


Maxis katanya, kekal sebagai pilihan hasil dividen yang menarik, disokong aliran tunai stabil, namun kekangan pertumbuhan ARPU dan ketidaktentuan 5G dijangka terus mengekang sentimen pelabur.


"Secara keseluruhan, meskipun asas operasi Maxis kukuh dengan pertumbuhan dan strategi capex terkawal, kekurangan pemangkin mengehadkan potensi kenaikan saham," katanya. - DagangNews.com