KUALA LUMPUR 28 Ogos - Matrix Concepts Holdings Bhd merancang untuk melancarkan projek pembangunan bernilai sehingga RM1.7 bilion dan menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Tumpuan pelancaran projek-projek baharu masih berpusat di kawasan pembangunan perdananya di Sendayan, Negeri Sembilan, selain di Lembah Klang.
Dalam kenyataan Matrix Concept berkata, bagi mengukuhkan asas dengan perluasan projek di Lembah Klang, syarikat akan membangunkan projek kediaman bertingkat ketiga Levia @ Puchong, susulan sambutan memberangsangkan terhadap projek pembangunan Levia Residences di Cheras.
“Untuk meningkatkan lagi prospek kumpulan pada FY26, antara pelancaran adalah pembangunan fasa pertama tanah perindustrian di dalam kawasan pembangunan Malaysia Vision Valley City (MVV City), yang merupakan komponen utama pembangunan koridor Malaysia Vision Valley yang lebih luas.
“Tawaran pembangunan ini telah menunjukkan daya tarikan yang kuat, dengan fasa pertama bernilai RM628.3 juta yang dilancarkan pada awal FY26 menerima sambutan luar biasa,” kata kenyataan itu.
Syarikat itu juga berhasrat untuk menghidupkan kembali sumbangan daripada kawasan selatan dan meneroka peluang pertumbuhan baharu melalui pelancaran projek kediaman mampu milik di Bandar Seri Impian, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh aliran pendapatan.
Tambah kenyataan itu lagi, pengambilalihan terkini Horizon L&L Sdn Bhd (HLL Group) membuka peluang untuk memperluas kehadiran pembangunan di pasaran pertumbuhan Sepang dan Banting.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pihaknya yakin dapat mengekalkan momentum jualan pada FY26, disokong oleh pelan hala tuju yang jelas, rangkaian pelancaran projek yang kukuh serta projek utama seperti MVV City yang menjadi tunjang strategi penciptaan nilai jangka panjang syarikat.
Beliau menambah, syarikat akan terus mengamalkan pendekatan berlandaskan realiti dan berhati-hati, dengan mengambil kira keadaan pasaran dalam usaha memacu pertumbuhan.
“Melalui pengambilalihan strategik, usaha luar negara dan pengembangan divisyen pendidikan serta kesihatan yang sinergi, kami sedang memperkukuh ekosistem yang membolehkan Matrix Concepts terus memberikan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan untuk tahun-tahun mendatang,” katanya. - DagangNews.com








