Matrix Concepts catat peningkatan untung bersih kepada RM62.9 juta disokong segmen pembangunan hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Matrix Concepts catat peningkatan untung bersih kepada RM62.9 juta disokong segmen pembangunan hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Matrix Concepts Holding Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM62.9 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2025 (1QFY26) berbanding RM60.7 juta pada tahun sebelumnya disumbangkan hasil lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah.

 

Hasil kumpulan juga naik kepada RM284.3 juta berbanding RM279.7 juta pada 1QFY25. 

 

Katanya, peningkatan hasil itu disumbangkan prestasi memberangsangkan daripada pembangunan bertingkat tinggi kedua kumpulan di Kuala Lumpur, iaitu Levia Residence, yang mencatatkan hasil sebanyak RM26.6 juta sepanjang suku berkenaan.

 

"Susulan prestasi jualan yang menggalakkan bagi Fasa 1 dan 2, Levia Residence dijangka terus menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan. 

 

"Bagaimanapun, projek utama kumpulan, Sendayan Developments, kekal sebagai penyumbang utama, dengan menjana hasil sebanyak RM226.4 juta, mewakili 79.7% daripada jumlah keseluruhan hasil yang dicatatkan dalam 1QFY26," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Selain pembangunan hartanah, segmen perniagaan lain kumpulan mencatatkan prestasi bercampur, dengan hasil yang kekal stabil pada RM16 juta dalam 1QFY26 berbanding RM16.2 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya, menunjukkan penurunan marginal sebanyak 1.3%.

 

Katanya, hasil daripada segmen pendidikan meningkat sebanyak 25.9% kepada RM6 juta, daripada RM4.8 juta dalam 1QFY25, didorong peningkatan kemasukan pelajar.

 

"Sementara itu, hasil daripada bahagian penjagaan kesihatan dan hospitaliti masing-masing menurun sebanyak 25.1% dan 5.1%, kepada RM3.3 juta dan RM6.7 juta, berbanding RM4.3 juta dan RM7 juta sebelum ini. Penurunan hasil yang diiktiraf daripada segmen penjagaan kesihatan adalah disebabkan oleh program peluasan kapasiti Pusat Perubatan Mawar," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berada pada kedudukan kukuh untuk mencapai pertumbuhan berterusan disokong permintaan berdaya tahan, khususnya bagi projek Sendayan Developments di Seremban, Negeri Sembilan.

 

Katanya, pembangunan itu terus menarik minat pembeli rumah dari Lembah Klang yang mencari kediaman berkualiti tinggi dan mampu milik di luar pusat bandar. 

 

Permintaan itu turut diperkukuhkan oleh penambahbaikan infrastruktur, jaringan jalan raya yang semakin berkembang, serta penerimaan lebih meluas terhadap kaedah kerja jarak jauh dan hibrid.

 

"Kumpulan juga berada dalam kedudukan untuk mencipta nilai jangka panjang melalui pembangunan Malaysia Vision Valley City (MVV City) di Negeri Sembilan. 

 

"Pelancaran awal di bawah projek transformatif ini dijadualkan bermula dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026. MVV City akan dibangunkan secara usaha sama dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan, sekali gus mengukuhkan peranan Kumpulan dalam merancakkan pertumbuhan wilayah," katanya.- DagangNews.com