Matrix Concepts, Alpro Group dan Mercy Senior Care meterai perjanjian tubuh pusat penjagaan kejururawatan di Suria Heights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Matrix Concepts, Alpro Group dan Mercy Senior Care meterai perjanjian tubuh pusat penjagaan kejururawatan di Suria Heights

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisMatrix Concepts Holdings Bhd memeterai perjanjian strategik bersama Alpro Group dan Mercy Senior Care Centre Sdn Bhd bagi mengendalikan sebuah pusat penjagaan kejururawatan di Suria Heights, Bandar Sri Sendayan.

 

Kemudahan itu bakal menyediakan lebih 130 katil dengan perkhidmatan kejururawatan khusus merangkumi sokongan klinikal, rehabilitasi dan pemulihan selepas keluar hospital.

 

Ia juga akan didaftarkan sebagai kemudahan penjagaan kejururawatan berdaftar Kementerian Kesihatan, dengan fokus kepada pemulihan pasca pembedahan, penjagaan pesakit terlantar jangka panjang, pemulihan mangsa kemalangan serta pemantauan perubatan berterusan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Perubatan Alpro Clinic, Dr Ng Ming Lee berkata permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan pasca discaj dan jangka panjang semakin meningkat.

 

“Sebagai titik sentuhan pertama dalam penjagaan komuniti, kami menyaksikan sendiri cabaran yang dihadapi keluarga setiap hari dan memahami keperluan sebenar masyarakat untuk berasa disokong.

 

“Bersama rakan strategik, kami membina persekitaran penuh empati di mana sokongan kejururawatan profesional dan penjagaan berteraskan keluarga dapat diakses pada saat paling diperlukan,” katanya.

 

Pusat penjagaan itu disasarkan menjadi penghubung lancar antara hospital dan rumah dengan menyediakan penjagaan klinikal berkualiti tinggi dalam persekitaran yang mesra keluarga.

 

Suria Heights yang menjadi lokasi kemudahan ini, merupakan sebahagian daripada pembangunan hab kesihatan dan kesejahteraan Matrix Concepts yang disokong oleh kemudahan sekolah sedia ada, gaya hidup moden serta jaringan kesalinghubungan bandar yang kukuh.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee berkata kerjasama itu akan mengukuhkan fabrik sosial Bandar Sri Sendayan serta memenuhi keperluan penting komuniti setempat.

 

“Ketika Matrix Concepts menghampiri ulang tahun ke-30, syarikat kekal komited membangunkan perbandaran yang menyokong setiap fasa kehidupan.

 

“Inisiatif ini mencerminkan aspirasi syarikat untuk membina persekitaran di mana keluarga boleh berkembang dan warga emas boleh menua dengan bermaruah, disokong akses kepada penjagaan profesional dan suasana yang menyantuni,” katanya. - DagangNews.com