KUALA LUMPUR 4 Feb – Maybank Investment Bank (Maybank IB) menegaskan margin syarikat sektor teknologi di Malaysia terus terjejas susulan berlaku kenaikan kos bahan mentah dan buruh akhir-akhir ini.
Sehubungan perkembangan tersebut, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor ini, manakala Frontken kekal sebagai pilihan utama dengan harga sasaran (TP) RM5.19 sesaham.
Lawatan tapak firma itu di Pulau Pinang baru-baru ini namun menunjukkan pemain industri teknologi perkakasan mencatat peningkatan aktiviti dan menjalankan pelbagai program pengembangan tambahan.
"Usaha tersebut menampung kapasiti dan pelanggan baharu, dengan syarikat seperti Unisem, UWC, EG Industries, Mi dan CLITE dijangka mendapat manfaat," kata Maybank IB dalam nota kajiannya hari ini.
Jelasnya, pertumbuhan berstruktur dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC) dinilai terus menyokong kemajuan syarikat-syarikat teknologi di negeri itu sendiri dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pasaran cip automotif, terutama selepas pengurangan insentif kenderaan elektrik (EV) di China, dijangka mengekang potensi.
Justeru, Maybank IB meramal pertumbuhan keuntungan bagi separuh pertama 2026 kemungkinan terjejas, namun menekankan ada beberapa faktor lain boleh membantu menampung kelemahan kitaran tersebut.
"Antaranya peralihan daripada pasaran tradisional iaitu automotif, pengguna, industri ke AI dan DC, manakala aktiviti fabrikasi logam dan permintaan pelanggan menjadi indikator pertumbuhan," katanya.
Secara keseluruhannya, lawatan tapak menunjukkan aktiviti tinggi dan pemulihan secara beransur-ansur, tetapi keadaan masih lagi tidak sekata, dengan beberapa fasiliti kurang dimanfaatkan.
Kata Maybank IB, walaupun tempahan diterima mereka meningkat, kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS juga berisiko mengehadkan pertumbuhan keuntungan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Oleh itu, firma berkenaan kekal teliti serta berhati-hati memantau margin, permintaan AI/DC, dan pasaran cip automotif China bagi menilai kesan ke atas rantaian bekalan tempatan. - DagangNews.com








