KUALA LUMPUR 20 April — Kebimbangan terhadap margin lebih rendah menerusi kontrak pusat data (DC) terbaharu mendorong Public Investment Bank menurunkan penarafan Kawan Renergy Berhad.
Kumpulan berkenaan ujar firma penyelidikan tersebut, diberikan saranan ‘neutral’ berbanding ‘outperform’ sebelum ini meskipun syarikat itu berjaya memperoleh tender DC baharu yang bernilai RM70.4 juta.
Menurutnya, kontrak sistem penjana diesel kepada pengendali DC itu dijangka menawarkan margin yang lebih rendah berbanding segmen teras kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
“Walaupun buku tempahan Kawan Renergy didapati meningkat, potensi kenaikan keuntungan pula adalah terhad kerana sifat kontrak yang lebih rendah margin,” kata PublicInvest dalam nota analisisnya.
Kontrak tersebut meningkatkan buku tempahan terkumpul kepada RM157.2 juta, sekali gus melepasi semula paras RM100 juta dan meredakan kebimbangan terhadap keterlihatan pendapatan sebelum ini.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, perkembangan yang positif itu menyokong prospek pendapatan kumpulan supaya dapat menjadi lebih stabil bagi tahap kedudukan tahun kewangan 2026 hingga 2027.
Pada masa sama, kontrak ini menandakan kemasukan pertama syarikat ke dalam segmen tenaga DC, yang dilihat sebagai bidang pertumbuhan baharu berikutan peningkatan pelaburan premis itu di Malaysia.
Artikel berkaitan: Kawan Renergy dapat tempahan pembelian sistem generator diesel RM70.4 juta untuk pusat data

Kawan Renergy jelas PublicInvest, bertindak sebagai integrator sistem bagi set penjana diesel, melibatkan kerja pemasangan, integrasi sistem dan pemantauan bagi rumusan secara lebih menyeluruh.
"Berdasarkan kepada nilai kontrak yang diperolehnya, kapasiti tenaga sandaran dianggarkan sekitar 45 hingga 47 megawatt (MW), atau bersamaan kira-kira 11 hingga 19 unit penjana diesel," jelasnya.
Selain faktor margin, ia turut mengambil kira kedudukan harga saham syarikat berkenaan yang sudah meningkat menghampiri harga sasaran (TP), sekali gus mengehadkan potensi kenaikan selanjutnya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan TP sesaham pada 54 sen tanpa ada sebarang perubahan kepada unjuran prospek pendapatan Kawan Renergy dalam tempoh yang terdekat.
Walaupun kemasukan ke dalam ekosistem DC dilihat sebagai positif dari sudut jangka panjang, PublicInvest berpandangan pulangan jangka pendek akan terus dihadkan oleh struktur margin kontrak berkenaan.
"Secara keseluruhan, Kawan Renergy dijangka mencatat prestasi operasi yang lebih stabil, namun tanpa pemangkin kukuh untuk lonjakan keuntungan dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com








