KUALA LUMPUR 26 Jan — Malaysian Pacific Industries Berhad berada pada kedudukan strategik memanfaatkan pertumbuhan kukuh permintaan dalam segmen pelayan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menurut CGS International (CGSI), unjuran positif tersebut berdasarkan sumbangan hasil daripada segmen berkenaan yang dijangka meningkat kukuh kepada 20% menjelang akhir tahun kewangan 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek kumpulan ini amat baik didorong pertumbuhan kukuh segmen industri, yang menyumbang 47% dan 57% kepada hasil kumpulan masing-masing bagi FY25 dan 1QFY26.
"Permintaan terhadap semikonduktor berkecekapan tenaga sejajar dengan pertumbuhan 'AI-led Industry 4.0' di pasaran global dijangka terus menyokong prestasi syarikat," katanya dalam nota hari ini.
CGSI menambah, pelayan AI menyumbang sekitar 10% hasil kumpulan Malaysian Pacific Industries pada FY25 dan dijangka berganda kepada 20% pada FY26, disokong pertumbuhan pasaran infrastruktur awan.
Sektor berkenaan jelas firma tersebut, diunjurkan berkembang positif di pasaran global sekitar 22% tahun ke tahun (YoY) pada 2026, berdasarkan unjuran oleh agensi antarabangsa, Omdia Research.
Syarikat itu turut mengembangkan kapasiti pengeluaran berkaitan pelayan AI kepada 28 barisan pengeluaran, berbanding 17 sebelum ini, selaras dengan peningkatan tempahan daripada pelanggan.
"Kami percaya risiko produk yang disifatkan sebagai ketinggalan zaman adalah minimum dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang berikutan pengeluaran berbilang generasi produk AI," kata CGSI.
Sementara itu, berhubung pengambilalihan kilang Infineon di Nonthaburi, Thailand bernilai AS$77.9 juta (RM309.3 juta), ia menjangkakan proses penyatuan akan diselesaikan menjelang akhir 3QFY26.
Sumbangan keuntungan yang lebih bermakna kepada Malaysian Pacific Industries hanya dijangka mulai FY27, namun, potensi jangka panjang kilang itu dilihat positif berikutan fokus sektor tertentu.
Ini jelas CGSI, termasuk peluang pengembangan tapak tanah pegangan bebas yang lebih besar, serta pengukuhan hubungan dengan ramai pelanggan utama daripada syarikat tersebut sebelum diambil alih.
"Seiring jangkaan pemulihan pasaran automotif global dan lonjakan tempahan segmen industri, kami menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 dan FY27 masing-masing 34.7% dan 33.3%," katanya.
Susulan itu, ia menyemak semula harga sasaran syarikat dinaikkan kepada RM35.90, berdasarkan 31 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, serta menaik taraf saranan saham kepada ‘pegang’.
Bagaimanapun CGSI memberi amaran risiko penurunan termasuk kelembapan mendadak permintaan industri global serta cabaran dalam penyatuan operasi kilangnya di Thailand. - DagangNews.com








