Malaysia wajar pertimbang perkenalkan kembali GST secara berperingkat seawal separuh kedua 2026 – Ong Kian Ming | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia wajar pertimbang perkenalkan kembali GST secara berperingkat seawal separuh kedua 2026 – Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR 22 Okt – Malaysia disaran untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), berkemungkinan seawal separuh kedua tahun 2026, kata Profesor Adjung Universiti Taylor’s, Dr Ong Kian Ming.

 

Menurut beliau, pelaksanaan semula GST secara berperingkat dan pada kadar lebih rendah dilihat lebih sesuai dalam konteks semasa, memandangkan kebimbangan terhadap paras hutang kerajaan yang semakin tinggi.

 

Berucap dalam forum Decoding Budget 2026: What It Means for Malaysia’s Growth anjuran Hong Leong Bank, bekas ahli parlimen itu menjelaskan bahawa nisbah bayaran hutang kerajaan dijangka mencecah 17% pada tahun 2026, melebihi had selesa 15% daripada hasil kerajaan.

 

“Separuh kedua tahun 2026 mungkin masa yang sesuai untuk kerajaan mempertimbangkan semula GST, disebabkan faktor ekonomi dan politik – selepas pilihan raya – dan selepas itu lihat bagaimana ia berkembang,” katanya.

 

Beliau berkata, pelaksanaan secara berfasa boleh dilakukan dalam cara yang lebih diterima rakyat, seperti memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah berbanding sebelumnya.

 

“Memang benar hasil cukai akan sedikit terjejas jika kadar permulaan lebih rendah, tetapi kerajaan boleh menjimatkan subsidi, contohnya dengan mengurangkan kuota subsidi petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter, dan menaikkan harga secara beransur dari RM1.99 seliter.

 

"Saya fikir kerajaan wajar diberi pujian atas cara pelaksanaan subsidi yang bijak ini,” tambah Kian Ming.

 

Malaysia pernah melaksanakan GST pada kadar 6% bermula 1 April 2015, namun ia dimansuhkan dan digantikan semula dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September 2018, sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

 

Pada tahun 2017, kutipan GST mencecah RM44.3 bilion, dan angka itu telah diatasi oleh kutipan SST pada tahun lalu yang berjumlah RM44.7 bilion, dan dijangka meningkat kepada RM59.6 bilion pada tahun depan.

 

Namun begitu, sumbangan SST kepada hasil kerajaan persekutuan dijangka hanya 17.4% pada tahun 2026, masih di bawah sumbangan GST yang pernah mencecah 20.1% pada 2017.

 

Dalam forum yang sama, rakan kongsi cukai PwC Malaysia, Ang Wei Liang berkata, pelaksanaan sistem e-invois yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya tahun depan, dijangka dapat mempermudah pelaksanaan semula GST.

 

Beliau menjelaskan kegagalan rejim GST sebelum ini berpunca daripada apa yang disifatkannya sebagai 'melebarnya defisit kepercayaan' antara kerajaan dan perniagaan.

 

“Salah satu dapatan yang dikongsi oleh Kementerian Kewangan ialah jumlah bayaran balik GST yang perlu dibayar adalah jauh lebih tinggi daripada yang diunjurkan. 

 

"Akibatnya, sebahagian bayaran balik ditangguhkan, menjejaskan aliran tunai perniagaan, dan ini mendorong mereka memasukkan kos GST ke dalam harga jualan. Di sinilah bermulanya defisit kepercayaan,” kata Wei Liang.

 

Tambah beliau, pelaksanaan e-invois yang lebih telus akan membolehkan kerajaan mengurus bayaran balik GST dengan lebih cekap, sekali gus mengembalikan keyakinan perniagaan dan pembayar cukai.

 

“Dengan pelaksanaan e-invois dan langkah-langkah berkaitan, saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk kerajaan menilai semula pelaksanaan GST,” katanya lapor The Edge