KUALA LUMPUR 17 Okt – Business Sweden Malaysia bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) akan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam industri semikonduktor bagi mempercepatkan inovasi, kelestarian dan ketahanan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.
Kerjasama itu dicapai dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
Business Sweden menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Sweden dan Malaysia, dua ekonomi berasaskan inovasi yang komited membentuk masa depan landskap semikonduktor global.
Pesuruhjaya Perdagangan Sweden ke Malaysia, Ludvig Hermansson berkata, kerjasama ini meletakkan asas bagi inovasi masa depan, ketahanan dan pertumbuhan lestari dalam sektor semikonduktor.
Beliau berkata, Malaysia boleh memanfaatkan kepakaran Sweden dalam kelestarian dan pembuatan maju untuk mempertingkatkan ekosistem teknologi semikonduktornya serta mewujudkan sinergi kukuh yang memacu kemajuan dalam industri kritikal ini.
MoU itu menetapkan rangka kerja untuk aktiviti dan inisiatif bersama dalam penyelidikan, pembangunan, inovasi, pembuatan, reka bentuk, dan kelayakan profesional dalam bidang semikonduktor.
Kerjasama ini akan menumpukan pada tiga bidang utama iaitu pembangunan ekosistem, ketahanan rantaian bekalan, serta inovasi dan pertukaran teknologi berasaskan perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MSIA, Andrew Chan berkata, kerjasama ini membuka peluang baharu dalam teknologi maju, kelestarian dan pembangunan bakat bagi memacu fasa seterusnya dalam pertumbuhan semikonduktor global.
Perkongsian ini turut selari dengan Strategi Semikonduktor Negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menjadikan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi semikonduktor maju, manakala kekuatan Sweden dalam Industri 4.0, pembuatan lestari dan pendigitalan melengkapi usaha Malaysia ke arah aktiviti bernilai tinggi serta daya saing jangka panjang. - BERNAMA








