Malaysia Smelting sambung semula operasi perlombongan di hulu Sungai Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Smelting sambung semula operasi perlombongan di hulu Sungai Perak

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 4 Dis - Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) telah menyambung semula operasi perlombongan oleh anak syarikatnya yang dimiliki 80%, Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT), berkuat kuasa 4 Disember 2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata penyambungan semula operasi tersebut dibuat susulan penggantungan sementara yang diumumkan pada 20 November 2025.

 

Pemberhentian sementara operasi selama tiga minggu itu dikeluarkan pengawal selia negeri Perak susulan siasatan terhadap kejadian perubahan warna air sungai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini MSC berkata, kesan kewangan akibat penggantungan sementara ini adalah terkawal dan dijangka tidak menjejaskan keputusan kewangan penuh bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 secara material.

 

“Penggantungan hanya melibatkan operasi perlombongan manakala operasi peleburan timah berjalan seperti biasa,” kata MSC dalam makluman tersebut.

 

MSC menegaskan RHT telah lama melaksanakan langkah perlindungan termasuk pelan kawalan hakisan dan mendapan, pelan pemulihan sungai serta sistem air gelung tertutup.

 

“Pasukan teknikal syarikat juga sedang mengkaji kaedah rawatan air pasif menggunakan bakteria pengurang sulfat,” katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, MSC mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM42 juta, atau pendapatan sesaham 5.00 sen, daripada hasil sebanyak RM1.28 bilion.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) pula melaporkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat hasil RM529.5 juta, meningkat 12.7% berbanding RM470.1 juta setahun lalu.

 

Prestasi memberangsangkan itu dipacu peningkatan harga timah global, jualan lebih tinggi produk timah bertapis serta bahan antara (intermediates).

 

Harga purata timah yang lebih kukuh pada RM143,500 satu metrik tan (MT) turut membantu merancakkan prestasi Kumpulan. - DagangNews.com