Malaysia Smelting labur RM10 juta bina relau putar tampung operasi huluan lombong bijih timah Klian Intan di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Smelting labur RM10 juta bina relau putar tampung operasi huluan lombong bijih timah Klian Intan di Perak

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 MacMalaysia Smelting Corporation Berhad memperkukuh rantaian nilai operasi huluannya dengan memulakan pembinaan relau putar yang baharu di Klian Intan, Perak hari ini.


Menurut kumpulan tersebut, projek baharu berkenaan melibatkan lombong Rahman Hydraulic Tin (RHT) dalam usaha syarikat peleburan itu meningkatkan tahap kecekapan dan mengurangkan kos logistik.


Projek bernilai RM10 juta itu dijangka siap menjelang suku ketiga tahun kewangan 2026, dengan kapasiti pemprosesan 10 tan sehari, membolehkan bijih diproses kepada timah mentah secara terus.


Majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang menyifatkan pelaburan itu sebagai langkah penting mengukuh kedudukan Perak sebagai hab utama industri mineral.


"Ketika ini semua bijih timah dari RHT perlu dihantar sejauh kira-kira 400 kilometer ke kemudahan peleburan di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor," jelas Malaysia Smelting dalam kenyataan.


Sehubungan itu, dengan adanya pemprosesan terus di lokasi lombong, berat dan isipadu bahan perlu diangkut dapat dikurangkan, sekali gus menjimatkan kos serta memendekkan tempoh penghantaran.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bersama kumpulan, Nicolas Chen Seong Lee berkata, kemudahan baharu tersebut meningkatkan integrasi antara operasi perlombongan dan peleburan.


Langkah ini jelas beliau, turut membolehkan aliran bahan menjadi lebih cekap serta memastikan kualiti segala bekalan bahan mentah yang konsisten ke kilang peleburan syarikat di Pulau Indah.


Seorang lagi CEO Bersama, Lam Hoi Khong menambah, pelaburan berkenaan membantu mengoptimumkan struktur kos dengan mengurangkan keperluan pengangkutan bahan galian yang tidak bernilai tambah.


Dalam aspek kelestarian, Malaysia Smelting turut meneroka pemasangan panel solar fotovolta di tapak RHT, susulan kejayaan pemasangan sistem solar berkapasiti 1.26MWp di kemudahan Pulau Indah.


"Langkah ini sejajar dengan komitmen kumpulan terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mengurangkan intensiti tenaga serta pelepasan karbon," katanya. - DagangNews.com