Malaysia Smelting dijangka catat prestasi lebih kukuh meskipun berdepan kekangan bekalan bijih timah global - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Smelting dijangka catat prestasi lebih kukuh meskipun berdepan kekangan bekalan bijih timah global - UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - Malaysia Smelting Corp Bhd (MSC) dijangka mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh, didorong peningkatan hasil perlombongan serta kecekapan kos, meskipun berdepan kekangan berterusan dalam bekalan bijih timah global, UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MSC kini giat mempertingkat kecekapan operasi huluan di Rahman Hydraulic Tin, iaitu lombong timah eluvial atau mendapan setempat terbuka terbesar di Malaysia.

 

Ini susulan siapnya loji pemulihan pasir sisa yang dijangka mula beroperasi pada April 2026.

 

“Loji tersebut dijangka menambah kira-kira tiga tan pengeluaran timah sehari selepas tempoh peningkatan operasi selama tiga hingga enam bulan.

 

“Ia sekali gus meningkatkan hasil perlombongan efektif daripada sekitar 11 tan sehari kepada antara 14 hingga 15 tan sehari melalui pemulihan bahan yang sebelum ini dibuang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut UOBKH Research, peningkatan tersebut juga akan mengurangkan kebergantungan MSC terhadap bekalan bijih pihak ketiga, dengan pengambilan bijih dalaman dijangka meningkat daripada 20% kepada 25%.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan harga timah global kekal kukuh berikutan bekalan yang masih terhad akibat cabaran kawal selia dan operasi di beberapa negara pengeluar utama.

 

Ia mengekalkan unjuran harga timah di London Metal Exchange pada AS$45,000 satu tan bagi 2026 dan AS$46,000 satu tan bagi 2027.

 

“Langkah Indonesia membanteras kira-kira 1,000 lombong haram, di samping pelesenan lebih ketat serta penguatkuasaan alam sekitar, telah mengehadkan ketersediaan bijih timah di pasaran,” katanya.

 

Selain itu, lombong Bisie di Republik Demokratik Congo yang menyumbang sekitar 8% daripada bekalan global turut berdepan risiko keselamatan dan logistik yang boleh menjejaskan pengeluaran.

 

Dalam perkembangan berkaitan, UOBKH Research berkata bahagian peleburan MSC masih berdepan cabaran mendapatkan bekalan bijih daripada pihak ketiga, susulan kapasiti peleburan China yang melebihi bekalan domestiknya, sekali gus meningkatkan persaingan global bagi bahan mentah.

 

Bagaimanapun, prestasi jangka pendek MSC dijangka terus disokong oleh pengkomersilan perantaraan timah berjumlah 1,964 tan, selain peningkatan penggunaan bijih daripada sumber dalaman susulan pengembangan hasil perlombongan. - DagangNews.com