KUALA LUMPUR 4 Dis — Malaysia berjaya memperoleh potensi jualan eksport bernilai RM78.48 juta melalui misi pemecutan eksport ke Timor-Leste yang berlangsung dari 17 hingga 21 November lepas, menandakan peningkatan keserasian perdagangan antara pengeksport Malaysia dan pasaran Timor-Leste yang berkembang pesat.
Misi berkenaan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Dili, melibatkan 100 pertemuan perniagaan dan menerima lebih daripada 100 pertanyaan daripada peserta industri.
Matrade dalam kenyataan berkata, misi ini diadakan susulan penyertaan bersejarah Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lalu.
“Pencapaian ini membuka peluang baharu bagi Malaysia untuk mendapatkan kelebihan perintis dalam pasaran ASEAN yang baru dimeterai dengan potensi besar yang masih belum diteroka,” kata kenyataan itu.
Dengan usaha Timor-Leste mempercepatkan pemelbagaian ekonomi dan naik taraf infrastruktur, Matrade menegaskan bahawa penyertaan Malaysia adalah tepat pada masanya untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan dagang yang kompetitif dan dipercayai dalam ASEAN dan pasaran global.
Sorotan utama misi ini termasuk penandatanganan memorandum persefahaman (MoA) antara Mighty Skills International College dan lima institusi pendidikan utama Timor-Leste, iaitu Arvec Development Group, Beyond Success Technology Timor LDA, Dili Institute of Technology, East Timor Development Agency, dan Fundasaun Santa Marta Regina.
Sepanjang program empat hari itu, delegasi turut menyertai seminar perniagaan dan sesi pembentangan yang dihadiri lebih 150 pemain industri dan wakil media.
Lawatan industri ke kedai runcit utama dan Pelabuhan Tibar Bay pula memberikan pendedahan langsung mengenai realiti rantaian bekalan tempatan serta peluang perniagaan yang sedang muncul.
Sesi jaringan dan kerjasama yang dianjurkan oleh pelbagai rakan kongsi turut membuka lebih banyak pintu bagi perluasan kolaborasi antara syarikat Malaysia dan rakan niaga Timor-Leste. - DagangNews.com








