Malaysia perlu pelaburan RM2.4 trilion dalam 20 tahun untuk mencapai matlamat perubahan iklim dan pembangunan mampan – Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perlu pelaburan RM2.4 trilion dalam 20 tahun untuk mencapai matlamat perubahan iklim dan pembangunan mampan – Johari

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Okt – Malaysia dijangka memerlukan pelaburan terkumpul sebanyak AS$570 bilion (RM2.4 trilion) dalam tempoh dua dekad akan datang bagi mencapai matlamat jangka panjang negara dalam perubahan iklim dan pembangunan mampan.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ketahanan terhadap iklim bukan sekadar membabitkan pelaburan alam sekitar, sebaliknya menuntut satu reka bentuk semula terhadap seni bina kewangan yang lebih lestari dan mampan.

 

"Anggaran awal menunjukkan rantau ASEAN memerlukan sekitar AS$422 bilion (RM1.78 trilion) bagi pembiayaan iklim menjelang 2030, manakala Malaysia sendiri memerlukan AS$570 bilion untuk mencapai aspirasi jangka panjangnya dalam pembangunan dan iklim.

 

“Keperluan ini akan menuntut penggunaan instrumen kewangan yang inovatif, model pembiayaan campuran, dan yang paling penting, kepastian dasar yang mampu memberikan keyakinan jangka panjang kepada pelabur,” katanya.

 

Johari yang kini turut menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata demikian Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur 2025 hari ini.

 

Sidang Kemuncak Kelestarian itu dianjurkan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Produk Eko dan Teknologi Hijau Malaysia (IGEM). 

 

Ia merupakan edisi pertama yang bertujuan mengukuhkan kerjasama serantau dan menyelaras matlamat kelestarian ASEAN, sejajar dengan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.

 

Johari menambah, walaupun jumlah pelaburan tersebut adalah besar, kos tidak mengambil tindakan adalah jauh lebih tinggi, memandangkan perubahan iklim kini telah memberi kesan ketara kepada keselamatan makanan, harga tenaga, rantaian bekalan dan kesihatan awam.

 

“Tindakan terhadap perubahan iklim perlu dirangka secara menyeluruh, terintegrasi dan didokong oleh reformasi institusi supaya pembangunan negara dapat bersifat regeneratif dan inklusif,” katanya.

 

Katanya, walaupun Malaysia hanya menyumbang 0.69% kepada jumlah pelepasan karbon global, negara kekal komited terhadap sasaran pengurangan intensiti karbon sebanyak 45% menjelang 2030, selaras dengan Pelan Tindakan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC).

 

“Laporan terkini menunjukkan bahawa Malaysia telah berjaya mencapai pengurangan sebanyak 37.1% pada tahun 2021, hasil daripada usaha bersepadu merentas sektor dalam bidang kecekapan tenaga, mobiliti bersih dan pengurusan guna tanah,” jelasnya. - DagangNews.com