Malaysia kukuhkan kedudukan peneraju pasaran kewangan menerusi rangka kerja ACMF 2025, Taksonomi ASEAN, kata PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia kukuhkan kedudukan peneraju pasaran kewangan menerusi rangka kerja ACMF 2025, Taksonomi ASEAN, kata PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Nov - Malaysia mampu memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pasaran kewangan mampan di rantau ini menerusi pelaksanaan dua inisiatif utama yang akan menjadi pemacu utama dalam menyelaraskan pasaran modal negara dengan piawaian kelestarian global.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua inisiatif itu ialah Persidangan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) Antarabangsa 2025 dan Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan.

 

Katanya, kedua-dua rangka kerja ini bukan sahaja akan mengukuhkan integrasi pasaran modal serantau, malah akan menjadikan ASEAN sebagai destinasi pilihan pelaburan bertanggungjawab dan berorientasikan jangka panjang.

 

“Pasaran modal yang berfungsi dengan baik amat penting bagi menggerakkan sumber, mengagihkan modal secara cekap dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

 

“Dalam konteks ini, kedua-dua rangka kerja tersebut mencerminkan komitmen kolektif kita terhadap piawaian kelestarian yang berwibawa, sejajar dengan jangkaan global,” katanya dalam ucapan sempena Forum Pasaran Modal Asean di sini, hari ini.

 

Ucapan Perdana Menteri disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Anwar berkata, sektor swasta memainkan peranan penting dalam menterjemahkan aspirasi kerajaan kepada hasil yang boleh diukur, terutama dalam memperkukuh kelestarian dan daya saing ekonomi rantau ini.

 

Sehubungan itu, Malaysia memperkenalkan Status Entiti Perniagaan Asean Malaysia (Malaysian Asean Business Entity Status – MyABE) sebagai salah satu langkah untuk mengiktiraf syarikat yang beroperasi secara mampan dan berpaksikan serantau.

 

Sebagai galakan, Anwar berkata kerajaan akan memudahkan mobiliti bakat profesional antara pasaran ASEAN bagi syarikat yang layak di bawah inisiatif MyABE.

 

“Membolehkan tenaga profesional bergerak rentas pasaran akan mengukuhkan daya saing, memperdalam integrasi ekonomi serantau dan memperkayakan ekosistem bakat Malaysia.

 

“Langkah ini juga akan mempercepatkan pemindahan ilmu serta memastikan tenaga kerja negara terus berada di barisan hadapan keupayaan dan kecemerlangan serantau,” jelasnya.

 

Langkah tersebut dilihat selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat kewangan serantau yang inklusif, lestari dan berdaya saing, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan hijau serta membina pasaran modal yang lebih berdaya tahan menghadapi cabaran global.

 

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi, berkata Pelan Tindakan ACMF 2026–2030 akan menjadi peta hala tuju menyeluruh bagi memperkukuh pasaran modal Asean dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Beliau menjelaskan, pelan itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu kelestarian, keterangkuman kewangan, kesalinghubungan serantau, transformasi digital dan penambahbaikan struktur institusi ACMF.

 

“Kami akan melancarkan Pelan Tindakan ACMF serta beberapa inisiatif Asean dan ACMF lain bagi tahun 2025 dalam masa terdekat,” katanya.

 

Pelan tersebut dijangka mempercepatkan penyelarasan dasar antara negara-negara Asean serta memperkukuh daya tarikan pasaran modal serantau terhadap pelabur antarabangsa yang semakin menitikberatkan aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com