KUALA LUMPUR 27 Okt – Malaysia kekal dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan eksport unsur nadir bumi (REE) dalam bentuk mentah, sebaliknya menggalakkan pelabur asing menyertai aktiviti pemprosesan dan pengeluaran produk di dalam negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dasar itu bertujuan memastikan nilai ekonomi daripada industri REE dinikmati sepenuhnya di Malaysia melalui rantaian bekalan hiliran yang mampan.
“Larangan eksport ini bukan bertujuan menutup pasaran, tetapi untuk menarik pelabur asing datang membangunkan aktiviti pemprosesan di sini.
“Kesan limpahan ekonomi akan dirasai melalui wujudnya peluang pekerjaan, pertumbuhan industri sokongan serta peningkatan eksport produk bernilai tambah,” katanya dalam temu bual bersama CNBC’s Squawk Box Asia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Zafrul berkata, Malaysia mengekalkan dasar konsisten dan tidak eksklusif terhadap semua negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Korea.
“Anda boleh anggap dasar ini sebagai satu bentuk halangan bukan tarif, namun dalam konteks Malaysia, ia penting untuk memastikan pembangunan ekonomi jangka panjang.
“Kita tidak menyasarkan mana-mana negara. Larangan ini terpakai kepada semua,” jelasnya.
Kenyataan itu dibuat susulan pemeteraian perjanjian perdagangan timbal balik antara Kuala Lumpur dan Washington yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta ketahanan rantaian bekalan, termasuk kerjasama dalam pembangunan mineral kritikal.
Melalui perjanjian tersebut, Malaysia komited untuk tidak mengenakan larangan atau kuota eksport bagi mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS, serta memastikan tiada sekatan terhadap penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat Amerika.
Ia turut merangkumi komitmen untuk mempercepat pembangunan sektor berkenaan dengan kerjasama firma AS melalui pemberian lesen operasi jangka panjang bagi menjamin kestabilan peraturan.
Menurut Zafrul, kerajaan masih dalam proses mengesahkan nilai ekonomi sebenar sektor nadir bumi negara, selepas peruntukan Belanjawan 2026 disalurkan bagi kerja-kerja pengesahan geologi.
“Adalah penting sektor swasta turut terlibat dalam proses pengesahan ini,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan Malaysia kekal neutral dan terbuka dalam pendekatan industrinya ketika kuasa besar dunia bersaing mendapatkan akses kepada sumber mineral kritikal serta rantaian bekalan semikonduktor.
“Perbincangan dengan AS dan China sedang berjalan di peringkat kerajaan dan perniagaan, termasuk minat syarikat China untuk menubuhkan loji pemprosesan nadir bumi di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








