KUALA LUMPUR 20 Nov – Malaysia merekodkan peningkatan pengeluaran minyak sawit paling ketara dalam sedekad, apabila jumlah pengeluaran melonjak 203,000 tan pada Oktober, didorong monsun, baja lebih baik dan taburan hujan yang menggalakkan sepanjang 2024.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Sabah mencatat pertumbuhan tertinggi bulan ke bulan dengan pertambahan 72,000 tan, diikuti Sarawak 61,000 tan dan Semenanjung Malaysia 68,000 tan.
MPOC memaklumkan, peningkatan besar ini menjadikan Oktober sebagai bulan pengeluaran tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Eksport juga melonjak dengan ketara, meningkat 265,000 tan kepada 1.69 juta tan, melepasi jangkaan pasaran.
MPOC berkata, pasaran Sub-Sahara Afrika menyumbang sebahagian besar peningkatan, dengan eksport ke rantau itu mencatat rekod 577,000 tan, bersamaan 34% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada bulan tersebut.
Eksport ke China turut naik ke paras tertinggi lima bulan pada 110,000 tan.
Malaysia mencatat stok minyak sawit 2.46 juta tan pada Oktober, paras tertinggi sejak April 2019.
Menurut MPOC, kenaikan stok bukan didorong oleh pengeluaran atau eksport, tetapi dipengaruhi oleh penggunaan domestik yang lebih perlahan.
Dalam tempoh Januari hingga Oktober 2025, Malaysia mengimport 708,000 tan minyak sawit dari Indonesia, peningkatan 266% berbanding 193,000 tan pada tempoh sama tahun lalu.
Di pasaran global, harga minyak sawit susut 4% pada November berikutan peningkatan stok, manakala harga minyak bunga matahari, soya dan rapeseed kekal stabil.
Ini menyebabkan minyak sawit diniagakan pada diskaun AS$120 berbanding minyak bunga matahari, AS$48 lebih rendah daripada minyak soya dan AS$34 di bawah minyak rapeseed.
MPOC dalam kenyataan hari ini berkata, diskaun sementara ini dijangka meningkatkan permintaan import, terutama dalam pasaran yang sedang membuat persediaan Ramadan.
Pada 2026, Tahun Baharu Cina dan Ramadan jatuh pada bulan yang sama iaitu Februari, ketika pengeluaran berada pada paras musim rendah. “Gabungan dua perayaan besar ini lazimnya meningkatkan pembelian awal oleh isi rumah dan perniagaan,” katanya.
Sepanjang 2025, minyak sawit sering diniagakan pada premium atau diskaun kecil berbanding minyak soya, menyebabkan import India merosot.
India kini memiliki stok minyak sayuran hanya 1.7 juta tan pada Oktober 2025, jauh lebih rendah berbanding 2.4 juta tan setahun lalu.
Pipeline stocks juga rendah berbanding stok pelabuhan, menandakan penghantaran baharu yang terhad.
“India dijangka meningkatkan pembelian untuk menambah semula stok domestik, memanfaatkan harga minyak sawit yang lemah,” kata MPOC.
Dalam masa sama, MPOC berkata, ketidaktentuan dasar Indonesia terus menyokong harga minyak sawit.
Laporan pasaran menunjukkan kerajaan negara itu mungkin melaras struktur duti eksport untuk memastikan bekalan domestik mencukupi, sementara masa sebenar pelaksanaan mandat biodiesel baharu sama ada B45 atau B50, kekal sebagai faktor penentu yang mampu mempengaruhi jumlah eksport pada 2026.
MPOC memaklumkan, harga minyak sawit dijangka mendapat sokongan kukuh pada RM4,100 hingga RM4,200 pada Disember dan berpotensi meningkat ke paras RM4,500.
“Pengeluaran luar biasa dari Julai hingga Oktober 2025 turut menunjukkan potensi penurunan bermusim yang lebih ketara pada Disember dan suku pertama 2026, selari pokok memasuki fasa rehat biologi,” katanya.
“Permulaan monsun pada pertengahan November juga dijangka menjejaskan aktiviti penuaian,” katanya lagi. - DagangNews.com








