Malaysia Building di Hong Kong hampir dijual HK$1.3 bilion, lapor media tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Building di Hong Kong hampir dijual HK$1.3 bilion, lapor media tempatan

Malaysia Building di Gloucester Road Hong-kong. Gambar/Google Street View
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Jan - Satu aset negara di Hong Kong, sebuah bangunan 27 tingkat yang terletak di kawasan perdagangan utama di Wan Cai, dilaporkan hampir dijual kepada sebuah konsortium dengan nilai HK$1.3 bilion atau kira-kira RM676 juta, lapor portal-portal berita di negara berkenaan.

 

Dikenali sebagai Malaysia Building, bangunan yang beralamat di 50 Gloucester Road mendapat minat tinggi daripada pembeli dan pelabur tempatan sejak tender terbuka dibuka pada Ogos 2025.

 

Pihak berkuasan Malaysia dilaporkan telah melantik seorang ejen bagi menjalankan tender global untuk pelupusan hartanah tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh tutup bidaan pada asalnya ditetapkan pada awal November, namun telah dilanjutkan oleh firma jurunilai yang dilantik kepada 11 Disember.

 

Menurut sumber pasaran, tawaran kira-kira HK$1.3 bilion, iaitu harga yang secara umumnya selari dengan jangkaan penjual, sekali gus meningkatkan kemungkinan urus niaga tersebut dimuktamadkan dalam masa terdekat, , lapor portal dimsumdaily.hk

 

Tapak Malaysia Building meliputi kira-kira 8,666 kaki persegi, dengan keluasan lantai kasar sekitar 129,950 kaki persegi. 

 

Hartanah ini ditawarkan untuk dijual atas dasar “as is”, dengan sebahagiannya dengan pemilikan kosong dan sebahagian lagi tertakluk kepada penyewaan sedia ada.

 

Berdasarkan laman web Kementerian Luar, bangunan tersebut kini menempatkan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong. Agensi lain termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

 

Laporan media sebelum ini menyebut Kerajaan Malaysia membeli bangunan berkenaan pada tahun 1980 pada harga sekitar HK$212 juta.

 

MB
Malaysia Building di Gloucester Road Hong-kong. Gambar/Google Street View

 

Bangunan 27 tingkat itu merangkumi ruang runcit dari aras bawah hingga tingkat ketiga, manakala ruang pejabat terletak dari tingkat keempat hingga ke aras teratas. 

 

Keluasan setiap tingkat adalah antara kira-kira 3,001 hingga 4,490 kaki persegi, dan unit di tingkat pertengahan hingga atas menikmati pemandangan luas ke arah Pelabuhan Victoria.

 

Pakar hartanah menyatakan bangunan tersebut mempunyai potensi pembangunan semula yang jelas, namun menegaskan nilai terbesarnya terletak pada ciri penjenamaan unik, termasuk potensi hak penamaan serta ruang pengiklanan yang menonjol pada dinding luar bangunan. 

 

Gloucester Road sendiri dianggap sebagai koridor pengiklanan utama, sekali gus meningkatkan pendedahan hartanah tersebut dengan ketara. 

 

 

 

 

 

 

Ciri-ciri ini dijangka menarik minat syarikat korporat yang ingin memperoleh dan membangunkan semula tapak itu sebagai bangunan ibu pejabat jangka panjang untuk kegunaan sendiri.

 

Berdasarkan anggaran nilai urus niaga sekitar HK$1.3 bilion, harga tersebut dianggarkan kira-kira HK$10,000 bagi setiap kaki persegi. - DagangNews.com