KUALA LUMPUR 27 Ogos – Malaysia dan Brunei sepakat memperkukuh hubungan dua hala dengan memberi tumpuan kepada penyempurnaan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan serantau serta membuka peluang lebih luas dalam sektor pelancongan dan kerjasama ekonomi antara Brunei, Sabah dan Sarawak.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kenyataan bersama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan rundingan sempena Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 di Putrajaya hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut kedua-dua pemimpin mengiktiraf kerjasama antara Unified National Network (Brunei Darussalam) dan Sacofa (Sarawak) yang akan menandatangani perjanjian baharu selama tujuh tahun bermula 2026 berhubung model pajakan jalur lebar dalam sektor telekomunikasi melalui pendekatan perniagaan-ke-perniagaan.
Kedua-dua pemimpin itu turut menekankan kepentingan kesalinghubungan antara Brunei Darussalam dengan Sabah dan Sarawak sebagai asas integrasi ekonomi yang lebih erat serta pertukaran rakyat-ke-rakyat.
Dalam konteks ini, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan usaha Kerajaan Brunei dan Royal Brunei (RB) meningkatkan rangkaian penerbangan ke Sabah dan Sarawak.
Turut diberi perhatian ialah Memorandum Kerjasama antara RB dan Lembaga Pelancongan Sabah yang ditandatangani pada 30 Jun lalu di Kota Kinabalu, Sabah, bagi memperkukuh sektor pelancongan serta memperluaskan rangkaian penerbangan ke rantau utama termasuk BIMP-EAGA, ASEAN, Timur Tengah, Oceania, United Kingdom dan India menjelang 2028.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kedua-dua pemimpin mengalu-alukan kesalinghubungan darat yang lebih baik melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, yang meningkatkan akses rentas sempadan serta memudahkan perdagangan dan pergerakan rakyat.
Anwar dan Sultan Hassanal turut mengambil maklum rundingan berhubung draf Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brunei Darussalam dan Sabah bagi membolehkan pelajar Sabah melanjutkan pengajian tinggi di Brunei.
“Mereka mengalu-alukan inisiatif ini ke arah kerjasama pendidikan yang lebih rapat dan menantikan pemuktamadannya dalam masa terdekat,” menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian MoU kerjasama kesihatan sempena ALC ke-26, dengan penekanan kepada bidang farmaseutikal, keselamatan kesihatan, rawatan perubatan, penyakit tidak berjangkit dan kesihatan digital.
Selain itu, kedua-dua pemimpin mengiktiraf penubuhan Jawatankuasa Bersama di bawah MoU kerjasama pengangkutan yang ditandatangani pada 26 Ogos 2024 di Bandar Seri Begawan.
“Kedua-dua pemimpin menantikan mesyuarat sulung Jawatankuasa Bersama itu yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat 2025,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








