KUALA LUMPUR 14 Mac - Malaysia berdepan risiko dikenakan tindakan perdagangan oleh Amerika Syarikat sekiranya siasatan di bawah Seksyen 301 mendapati berlaku pelanggaran peraturan perdagangan antarabangsa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berkata langkah tersebut boleh membawa kepada sekatan perdagangan atau tarif tambahan yang memberi kesan langsung kepada eksport Malaysia ke pasaran Amerika Syarikat.
Menurut beliau, kerajaan Amerika Syarikat turut menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan Amerika Syarikat 1974 yang membolehkan tarif sementara sehingga 10 peratus dikenakan.
Katanya, tarif itu hanya boleh dilaksanakan dalam tempoh kira-kira lima bulan sebelum siasatan lanjut dijalankan terhadap hampir 60 negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika Syarikat, termasuk Malaysia.
“Siasatan di bawah Seksyen 301 akan meneliti beberapa aspek termasuk kemungkinan lambakan harga eksport, pematuhan piawaian buruh antarabangsa, penjagaan alam sekitar serta pemberian subsidi kerajaan,” katanya.
Beliau menjelaskan antara perkara yang menjadi tumpuan ialah sama ada sesebuah negara mengeksport produk ke Amerika Syarikat pada harga terlalu rendah berbanding harga di pasaran domestik sehingga menjejaskan industri tempatan negara itu.
Selain itu, syarikat yang mengeksport ke negara berkenaan juga perlu mematuhi piawaian buruh antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, termasuk memastikan tiada penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.
“Jadi siasatan ini bukan hanya terhadap Malaysia, tetapi melibatkan hampir 60 negara.
"Namun sebagai negara yang mempunyai hubungan dagangan besar dengan Amerika Syarikat dengan nilai eksport sekitar RM233 bilion setahun, kita tidak boleh memandang ringan perkara ini.
“Mana-mana syarikat Malaysia yang mengeksport ke Amerika Syarikat perlu memastikan mereka mematuhi semua syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
Semalam, Johari memaklumkan Malaysia akan mengemukakan penjelasan kepada Amerika Syarikat berhubung dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran serta isu penggunaan buruh paksa yang menjadi antara perkara disiasat di bawah Seksyen 301. - DagangNews.com








