Malaysia antara dua negara catat peningkatan keterangkuman kewangan menyeluruh - laporan indeks global 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia antara dua negara catat peningkatan keterangkuman kewangan menyeluruh - laporan indeks global 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Okt – Malaysia muncul satu daripada dua negara di dunia yang mencatat peningkatan skor merentasi semua teras keterangkuman kewangan iaitu sokongan kerajaan, sistem kewangan dan majikan, menurut Indeks Keterangkuman Kewangan Global (GFII) 2025.

 

Laporan itu diterbitkan oleh ‘Principal Financial Group dan Centre for Economics and Business Research’ (Cebr), sebuah badan penyelidikan ekonomi bebas berpangkalan di United Kingdom yang menjalankan analisis dan kajian ekonomi di peringkat global.

 

Peningkatan menyeluruh ini membuktikan kemajuan penting dalam usaha negara memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat melalui reformasi struktur dan dasar kewangan inklusif.

 

Malaysia mencatat peningkatan 0.8 mata dalam sokongan majikan, manakala sokongan kerajaan dan sistem kewangan masing-masing meningkat sebanyak 0.7 mata dan 0.1 mata berbanding tahun sebelumnya. 

 

Negara ini juga melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-7 di dunia dalam kategori sokongan majikan, meskipun kebanyakan pasaran lain mencatat penurunan akibat tekanan ekonomi global.

 

Kemajuan itu disumbang oleh pelaksanaan projek perintis Dasar Gaji Progresif, penstrukturan semula Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta penggunaan lebih meluas skim Earned Wage Access, yang membolehkan pekerja mengakses sebahagian pendapatan mereka sebelum tarikh gaji bagi mengurus tekanan kewangan dengan lebih fleksibel.

 

Bagi teras sokongan kerajaan, Malaysia kekal di kedudukan ke-25 dunia dengan peningkatan 0.7 mata, disokong oleh kemajuan dalam pendidikan kewangan, keterhubungan digital dan inisiatif persaraan. 

 

Dalam teras sistem kewangan pula, Malaysia menunjukkan peningkatan skor hasil pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), keyakinan perniagaan dan akses kredit, walaupun turun tiga anak tangga ke kedudukan ke-19 berikutan kemajuan lebih pantas oleh negara lain.

 

t
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Principal Asset Management Berhad (Kumpulan Syarikat), Munirah Khairuddin

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Principal Asset Management Berhad (Kumpulan Syarikat), Munirah Khairuddin berkata, peningkatan Malaysia dalam semua teras menunjukkan keberkesanan langkah reformasi domestik serta keupayaan negara menyesuaikan diri dengan cabaran global.

 

“Sokongan majikan di Malaysia meningkat ketika banyak negara lain berdepan penurunan. Ini menunjukkan bagaimana dasar-dasar seperti gaji progresif dan inisiatif akses gaji mampu meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat. 

 

“Dari segi sistem kewangan, peningkatan dalam keyakinan perniagaan dan pertumbuhan PKS disokong oleh pelaksanaan liputan 5G serta hala tuju dasar yang digariskan dalam Rangka Kerja Keterangkuman Kewangan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, pengalaman Malaysia menunjukkan pelaburan struktur yang konsisten serta reformasi bersasar dapat mengurangkan kesan tekanan luaran dan menyokong pertumbuhan yang lebih inklusif dalam jangka panjang.

 

Secara keseluruhannya, Indeks Keterangkuman Kewangan Global (GFII 2025) mencatat skor keseluruhan 49.4 daripada 100, sedikit menurun berbanding 2024. 

 

Namun, beliau berkata, Malaysia kekal antara sebahagian kecil negara yang terus mencatat kemajuan, sekali gus menunjukkan kestabilan dasar dan komitmen terhadap pembangunan kewangan inklusif.

 

Laporan itu turut menekankan bahawa peningkatan tahap literasi kewangan dapat membantu isi rumah mengurus hutang dengan lebih baik. 

 

Setiap peningkatan 1% dalam literasi kewangan dikaitkan dengan penurunan kadar kegagalan bayaran pinjaman sebanyak 2.8%  dan pengurangan nisbah hutang kepada pendapatan sebanyak 6.7%.

 

Kemajuan Malaysia dalam keterangkuman kewangan bukan sahaja memberi kesan positif kepada sektor kewangan, tetapi juga memperkukuh asas ekonomi rakyat melalui akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kewangan, peluang keusahawanan dan kesejahteraan jangka panjang. - DagangNews.com