KUALA LUMPUR 28 Okt - Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengakhiri Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 hari ini.
Berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Anwar berkata kejayaan blok serantau itu bukan sahaja diukur menerusi pemeteraian dokumen sebaliknya disiplin untuk bertindak dengan sabar, membangun mengikut rentaknya sendiri dan kekal tenang dalam ketidaktentuan.
“Kami juga gembira melihat berlakunya perbincangan dalam kalangan rakan kongsi dan kuasa di luar. Kami menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan bahawa jentera ASEAN, apabila dipandu dengan kesabaran dan matlamat, tetap berhasil,” katanya.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ASEAN, disusuli persembahan video selama lima minit yang menampilkan pencapaian dan inisiatif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Anwar turut mengakui bahawa tidak semua krisis dapat diselesaikan dalam satu tempoh kepengerusian malah satu generasi, kemajuan katanya datang dengan kegigihan.
“Sesetengah krisis akan berterusan; sesetengah kehidupan terus dibayangi keperluan untuk keselamatan dan kesejahteraan (fear and want). Namun sejarah (menunjukkan bahawa kejayaan) tidak datang bergolek...ia akan tiba dengan adanya kemahuan, kerja keras dan ketegaran mereka yang enggan berputus asa. Apa yang penting ialah setiap tindakan keberanian, setiap langkah kecil, membantu membawa rantau kita lebih dekat kepada harapan dan keadilan," katanya. - BERNAMA








