Malaysia Airlines tambah kekerapan penerbangan ke Trivandrum, India mulai September ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines tambah kekerapan penerbangan ke Trivandrum, India mulai September ini

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – Malaysia Airlines bakal memperkukuh jaringan laluan udaranya ke Selatan India dengan menambah kekerapan penerbangan ke Trivandrum susulan permintaan yang konsisten dan memberangsangkan.

 

Bermula 12 September depan, syarikat penerbangan nasional itu akan memperkenalkan penerbangan kelima mingguan ke destinasi tersebut, sebelum melaksanakan operasi harian sepenuhnya bermula 1 Disember 2025.

 

Tiket bagi frekuensi tambahan itu kini boleh ditempah melalui semua saluran rasmi Malaysia Airlines dan ejen pelancongan yang dilantik.

 

Ketua Pegawai Komersial Airlines, Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran berkata, langkah ini sejajar dengan komitmen berterusan syarikat untuk memenuhi keperluan pasaran India yang terus menunjukkan pertumbuhan positif, sekali gus menawarkan lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada pengembara selain mengukuhkan lagi hubungan udara antara kedua-dua negara.

 

“Laluan Kuala Lumpur–Trivandrum mula diperkenalkan pada November 2023 dengan hanya dua penerbangan mingguan sebelum ditingkatkan kepada empat kali seminggu pada April 2024.

 

“India kekal sebagai pasaran strategik bagi kumpulan dan peningkatan kekerapan itu mencerminkan iltizam untuk memenuhi permintaan perjalanan udara dari Selatan India.

 

“Dengan pengenalan penerbangan harian ke Trivandrum mulai Disember, kami berada dalam kedudukan terbaik untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengembara perniagaan dan pelancongan, serta menyokong hubungan dagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, Malaysia Airlines juga terus komited menawarkan pengalaman perjalanan menyeluruh berteraskan hospitaliti Malaysia yang selesa, boleh dipercayai dan meninggalkan kenangan manis untuk pelanggan,” katanya.

 

Malaysia Airlines kini mengendalikan 77 penerbangan mingguan ke 10 bandar utama di India termasuk Delhi, Mumbai, Bengaluru, Chennai, Hyderabad, Kochi, Ahmedabad, Amritsar dan Trivandrum.

 

Dengan tambahan baharu ini, jumlah keseluruhan penerbangan mingguan akan meningkat kepada 80 menjelang Disember 2025.

 

Beroperasi menerusi hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia Airlines terus mengukuhkan kedudukan sebagai pintu masuk utama ke Asia dan destinasi global

 

Tambahnya, pelancong antarabangsa yang melalui Malaysia boleh menikmati manfaat program Bonus Side Trip (BST) yang menawarkan satu penerbangan domestik percuma ke tujuh destinasi terpilih di dalam negara tanpa tambang asas.

 

“Program ini membolehkan pengembara meneroka lebih banyak keunikan budaya, alam semula jadi dan warisan Malaysia dalam satu itinerari perjalanan,” katanya. - DagangNews.com