KUALA LUMPUR 1 Julai — Kebergantungan tinggi kepada pasaran China, dan ketidaktentuan harga bahan mentah sarang burung walit antara isu utama dikhuatiri menjejaskan prestasi Enest Group Berhad.
Menurut Malacca Securities, kumpulan pemprosesan sarang burung yang berpangkalan di Kajang, Selangor itu turut terdedah kepada risiko perubahan peraturan eksport, dan ancaman wabak penyakit unggas.
Bagaimanapun, firma tersebut berpandangan syarikat ditubuhkan pada 2018 itu masih mempunyai prospek pertumbuhan baik, disokong strategi mengembangkan pasaran dan meningkatkan rantaian nilai produk.
"Justeru kami menetapkan nilai saksama (FV) 16 sen sesaham bagi Enest, mewakili potensi kenaikan 23% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 13 sen sesaham," jelasnya dalam nota.
Prestasi tiga tahun ujar Malacca Securities diunjur dipacu kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan 8.5%, dengan keuntungan bersih dijangka meningkat kepada RM8.4 juta FY26.
Faktor utama katanya, didorong perluasan eksport sarang burung walit mentah tidak dibersihkan (RUBN) ke China sebagai sumber pendapatan baharu, selain sarang burung walit dibersihkan (RCEBN).

Enest turut merancang pembinaan kemudahan pembotolan sendiri di fasiliti baharu di Kajang, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar kontrak bagi produk minuman sarang burung dan herba.
"Fasiliti ini dijangka beroperasi pada suku kedua 2029 dan menghasilkan 300,000 botol setahun, yang membolehkan syarikat menikmati hasil margin keuntungan lebih tinggi," kata Malacca Securities.
Segmen perdagangan RUBN berkembang pesat apabila hasil naik daripada RM2.9 juta pada FY22 kepada RM56 juta pada FY25, disokong rangkaian bekalan 940 rumah burung walit berdaftar di seluruh negara.
Dalam masa sama, Enest bercadang meningkatkan eksport RCEBN yang kini dijual tanpa jenama kepada pengedar dan pengimport di China dengan menyasarkan pengeluar produk perubatan tradisional Cina.
Status pendaftaran oleh General Administration of Customs of China (GACC) turut dinilai Malacca Securities sebagai kelebihan kerana menjadi syarat penting eksport produk makanan ke negara itu.
"Kami berpandangan pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE akan meningkatkan kecairan dagangan saham serta memperluaskan penyertaan pelabur runcit dan institusi," jelasnya
Ia namun mengingatkan risiko gangguan eksport akibat wabak unggas, serta turun naik harga RUBN yang menjana lebih 95% daripada kos jualan turut berpotensi menjejaskan margin Enest. - DagangNews.com








