Majikan wajar contohi GLIC tetapkan Gaji Kehidupan Wajar selaras kos sara hidup semasa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majikan wajar contohi GLIC tetapkan Gaji Kehidupan Wajar selaras kos sara hidup semasa

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — Mungkin tidak ramai sedar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 12 Disember 2024 telah melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) sebagai rujukan penanda aras bagi memastikan jaminan tabungan mencukupi ketika bersara.


Antara yang disyorkan agensi tersebut ialah aras Gaji Kehidupan Wajar ditetapkan pada RM3,100 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding gaji minimum RM1,700 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Februari 2025, selari dengan Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.


Hakikatnya, kadar asas itu masih dianggap rendah dan diakui sendiri oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim pada 4 Mei 2025 yang menegaskan bahawa graduan universiti zaman kini sepatutnya menerima gaji permulaan sekitar RM7,000 sebulan, dengan mengambil kira inflasi tahunan lima peratus.


Cadangan KWSP ini sebenarnya mendedahkan realiti jurang pendapatan semasa dan pentingnya menetapkan gaji yang lebih realistik bagi membolehkan pekerja merancang masa depan kewangan mereka dengan lebih kukuh. 


Berdasarkan rekod KWSP, hanya 36 peratus ahli aktif mencapai paras simpanan asas sebanyak RM240,000 menjelang usia 55 tahun. Ini menggambarkan ketidaktentuan masa depan kewangan majoriti besar rakyat Malaysia.


Dalam konteks ini, persoalan utama yang timbul ialah: apakah majikan bersedia mencontohi syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang telah mula melaksanakan Gaji Kehidupan Wajar RM3,100?


Bagi bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, garis panduan KWSP ini perlu diselaraskan dengan Dasar Gaji Progresif yang sedang dilaksanakan secara rintis sejak Jun 2024 dan dijangka diperluas mulai 2025.


“Sudah tiba masanya Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengambil tindakan serius dalam isu ini. Berdasarkan pengalaman, alasan seperti kekangan kewangan sering digunakan untuk menolak kenaikan gaji, malah ada yang memilih langkah mudah seperti pemberhentian pekerja,” katanya.


Beliau mencadangkan agar majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlu lebih kreatif dan berhemah dalam menguruskan modal operasi agar kenaikan gaji tidak menggugat kelangsungan perniagaan. 
 

Contohnya, pengurusan kos yang lebih cekap dan pelaburan dalam automasi boleh menjadi antara strategi yang diguna pakai.

 

Artikel berkaitan: GLIC laksanakan  Gaji Kehidupan Wajar selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI menaikkan siling, lantai taraf hidup


Inisiatif Menaikkan Lantai


Inisiatif ‘Menaikkan Lantai’ di bawah Kerangka Ekonomi MADANI merupakan asas penting dalam menyokong cadangan Gaji Kehidupan Wajar ini.

Prinsip menaikkan lantai bermaksud menetapkan paras minimum kesejahteraan rakyat, khususnya dari aspek pendapatan, akses kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan bermakna.


Kerangka ini bukan sekadar menambah nilai dalam ekonomi semasa, tetapi juga mahu mengangkat martabat pekerja bawahan, terutama di bandar-bandar besar yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Dengan menaikkan lantai, kerajaan secara langsung menangani kemiskinan bekerja (working poor) yang semakin ketara di kalangan B40 dan M40 bawahan.


“Gaji Kehidupan Wajar bukan semata-mata soal angka, tetapi ia mencerminkan nilai dan maruah hidup seorang pekerja,” tambah Kamarul.


Dalam pada itu, Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, juga mengakui bahawa lebih 70 peratus graduan kini bekerja dalam sektor separa mahir atau rendah kerana ketidaksesuaian kelayakan akademik dengan kehendak pasaran buruh. 


Ia merujuk kepada kajian Gaji Cukup Makan yang menyatakan berlaku lebihan graduan dalam bidang sains sosial dan perniagaan, tetapi kekurangan tenaga kerja dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan, IT dan vokasional.


Justeru, menaikkan lantai juga perlu digandingkan dengan pembaikan dalam sistem pendidikan tinggi. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi perlu bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan penawaran kursus lebih selaras dengan keperluan sebenar pasaran kerja.


Ini termasuk menyusun semula dasar pengambilan pelajar agar tidak terus membekalkan tenaga kerja yang sukar diserap oleh sektor ekonomi utama.


Artikel berkaitan: Beri lebih lagi penghargaan kepada pekerja kesuma bangsa


RM3,100 tinggi atau rendah?


Sementara itu, Kamarul turut menegaskan bahawa walaupun RM3,100 mungkin dilihat tinggi kepada majikan tertentu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk terus mengekalkan budaya upah rendah.

Ini kerana upah rendah akan mengekang produktiviti jangka panjang dan meningkatkan kadar penghijrahan tenaga mahir ke luar negara, satu kerugian besar kepada ekonomi negara.


Majikan perlu memanfaatkan data dan sokongan teknikal daripada kerajaan melalui Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara dan memperkukuh perbincangan dengan MEF, termasuk penganjuran jerayawara kerjaya dan forum pendidikan keusahawanan di sekolah menengah.


Kerajaan juga dilihat konsisten dan komited dalam mengangkat martabat pekerja melalui pelbagai dasar intervensi seperti bantuan subsidi upah, peningkatan latihan kemahiran dan pelaksanaan kerangka gaji progresif yang fleksibel tetapi berstruktur.


Kesimpulannya, usaha menaikkan gaji bukan beban, tetapi pelaburan jangka panjang. Semua pihak – kerajaan, majikan dan institusi pendidikan – harus bersatu dalam semangat Kerangka Ekonomi MADANI untuk menaikkan lantai pendapatan rakyat.

Hanya dengan itu kita mampu membina ekonomi yang adil, saksama dan mampan demi kesejahteraan bersama. - DagangNews.com