Mahkamah Rayuan tolak rayuan Ann Joo Steel, kekalkan pampasan RM11.98 juta kepada Amsteel Mills | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Ann Joo Steel, kekalkan pampasan RM11.98 juta kepada Amsteel Mills

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Mac - Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Ann Joo Steel Berhad (AJSB) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menganugerahkan pampasan berjumlah RM11.98 juta kepada Amsteel Mills Sdn Bhd bagi kerugian keuntungan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Ann Joo Resources Bhd (AJR) berkata, keputusan terhadap unit milik penuhnya itu dibuat pada 16 Mac 2026, sekali gus mengekalkan perintah bayaran ganti rugi am sebanyak RM11,984,818 serta kos perundangan RM30,000 kepada Amsteel Mills.

 

Menurut AJR, syarikat masih mempunyai pilihan untuk mengemukakan rayuan lanjut ke Mahkamah Persekutuan, namun ia tertakluk kepada kebenaran mahkamah tersebut.

 

“Rayuan ke Mahkamah Persekutuan bukanlah secara automatik dan hanya boleh diteruskan selepas mendapat kebenaran. 

 

"Permohonan perlu difailkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya.

 

Sehubungan itu, pihak syarikat katanya sedang meneliti kedudukan semasa serta mempertimbangkan langkah seterusnya yang sesuai berhubung perkara tersebut.

 

Mahkamah Tinggi pada 28 Nov 2024 telah memerintahkan AJSB membayar Amsteel Mills sebanyak RM11.98 juta sebagai ganti rugi am berhubung pertikaian kontrak bekalan.

 

Tuntutan ganti rugi am adalah satu-satunya tuntutan yang dibenarkan oleh mahkamah dalam saman Amsteel terhadap unit milik penuh Ann Joo, atas dakwaan penamatan kontrak bekalan dan tambahan secara salah. - DagangNews.com