Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan ‘menyinggung' dan ‘menjengkelkan’ dalam Akta Komunikasi dan Multimedia tidak bercanggah Perlembagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan ‘menyinggung' dan ‘menjengkelkan’ dalam Akta Komunikasi dan Multimedia tidak bercanggah Perlembagaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb — Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan 'menyinggung' dan 'menjengkelkan'  dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) adalah sah digunakan.


Justeru, mahkamah tertinggi negara ini menyifatkan dua perkataan itu tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memulihkan klausa yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.


Panel lima hakim, diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan, perkataan itu tidak menjejaskan hak kebebasan bersuara dan berhujah di bawah Artikel 10(1)(a).


Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nallini, yang membaca keputusan itu memberitahu, seksyen tersebut bertujuan mengawal penggunaan tidak wajar dalam kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.


"Langkah ini juga bagi memastikan persekitaran secara dalam talian yang selamat dan melindungi individu serta komuniti daripada mudarat," jelasnya dipetik daripada portal The Star, hari ini.


Di samping itu tambah beliau, seksyen berkenaan menyasarkan sebarang hantaran komunikasi yang berada di luar kebebasan bersuara dan tidak menjejaskan hak yang dijamin menurut Artikel 10(1)(a).


Keputusan ini membabitkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membatalkan dua perkataan tersebut berikutan tindakan saman oleh seorang aktivis, Heidy Quah.


Dia memohon agar perkataan 'menyinggung' dan 'menjengkelkan' itu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal selepas didakwa di mahkamah berhubung hantaran menerusi akaun sosial Facebooknya.


Mahkamah Persekutuan turut memutuskan pendakwaan terhadap Quah adalah tidak berasas, dengan menegaskan kandungan hantaran Facebooknya terlindung di bawah hak kebebasan bersuara dan berhujah.


Sehubungan itu, panel hakim berkenaan menyifatkan yang hantaran tersebut tidak boleh dijadikan sebagai asas pertuduhan perundangan oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 233(1)(a) CMA.


“Kami menyatakan bahawa prosiding terhadap Quah tidak sepatutnya diambil kerana kandungan hantaran beliau termasuk dalam definisi hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan,” kata Nallini.


Keputusan ini menegaskan peruntukan undang-undang boleh terus digunakan bagi mengawal penyalahgunaan komunikasi dalam talian tanpa menjejaskan hak asas kebebasan bersuara rakyat. - DagangNews.com