KUALA LUMPUR 12 Dis - Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan RHB Bank Bhd untuk mengemukakan garis panduan Minimum Due Diligence (MDD) bagi institusi kewangan tersebut yang mengawal selia urus niaga pertukaran mata wang asing untuk sebuah syarikat perkapalan dalam tempoh 45 hari, bermula 11 Disember.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk NP Ravinthran dan Datuk Faizah Jamaludin, bersama Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan rayuan penemuan pra-perbicaraan Maritime Network Sdn Bhd.
Mengesahkan keputusan tersebut, peguam syarikat itu, P Taneswaran, bersama James Joshua Paulraj dan Kavitharini Ramesh, berkata panel berkenaan turut menolak permohonan penangguhan yang dibuat oleh peguam bank, Gan Khong Aik, bersama Lee Sze Chin dan Tong Min Jie.
“Pada hari ini [Khamis], panel mendengar rayuan kami dan membenarkannya. Mahkamah kemudian mengarahkan pihak bank mengemukakan dokumen tersebut dalam tempoh 45 hari itu,” katanya melalui pesanan teks.
Pada 2 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Leong Wai Hong telah menolak permohonan Maritime Network atas alasan bahawa dokumen yang diminta adalah tidak perlu, dan memerintahkan syarikat perkapalan itu membayar kos RM10,000 kepada pihak bank. Syarikat tersebut kemudiannya memfailkan rayuan pada keesokan harinya.
Permohonan penemuan pra-perbicaraan ialah satu proses undang-undang yang membolehkan satu pihak dalam kes sivil mendapatkan dokumen atau maklumat daripada pihak lawan sebelum perbicaraan bermula.
Maritime Network memfailkan saman pemula pada 3 Mac tahun ini, memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak bank mendedahkan garis panduan dalaman dan prosedur ketekunan wajar (due diligence) institusi kewangan itu yang mengawal selia urus niaga pertukaran mata wang asing.
Tindakan itu, yang dimulakan oleh pengarah syarikat berkenaan, Datuk Seri R Jeyenderan, menamakan RHB Bank Bhd sebagai satu-satunya defendan.
Ditubuhkan pada 2002, Maritime Network memulakan prosiding selepas mendapati beberapa pemindahan dana antarabangsa ke dalam akaun USD pelbagai mata wangnya telah dipulangkan tanpa notis awal atau justifikasi mencukupi.
Menurut afidavit, pemindahan tersebut, walaupun datang daripada pengirim yang sebelum ini tidak dikenali, merujuk terus kepada invois sah yang dikeluarkan oleh syarikat itu.
Walaupun Maritime Network meminta pihak bank menahan sebarang pemulangan dana sementara semakan rapi dijalankan, dana berkenaan dipulangkan secara sepihak.
Sementara itu, pihak bank mendakwa ia telah mematuhi piawaian kewangan yang diperlukan, iaitu MDD. Oleh itu, syarikat tersebut menuntut untuk melihat garis panduan MDD yang digunakan oleh bank melalui penemuan pra-perbicaraan bagi menentukan sama ada bank telah melanggar kewajipan menjaga kepentingannya. - BERNAMA








