KUALA LUMPUR 17 Nov – Axianergy (M) Sdn Bhd, kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek paip gas lateral sepanjang 42km milik Petronas Gas Bhd (PetGas) untuk loji janakuasa Pulau Indah, telah memperoleh injunksi Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Nov 2025 yang menghalang PetGas daripada mengaktifkan tuntutan jaminan bank ketika proses timbang tara masih berjalan.
Axianergy turut memulakan proses adjudikasi di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012), dengan mendakwa PetGas berhutang lebih RM70 juta susulan perubahan skop kerja projek.
Mahkamah menyatakan tindakan PetGas sebagai “tidak berperikemanusiaan/unconscionable” dan membenarkan injunksi tersebut, menurut laporan The Edge.
Pertikaian itu melibatkan kerja-kerja bagi projek NPS 36 Pulau Indah Lateral Pipeline (Tulip), iaitu paip gas sepanjang 42km dari Puchong ke Pulau Indah bernilai RM541.07 juta. Projek tersebut disiapkan pada Julai 2024.
Mahkamah turut memerintahkan PetGas membayar kos berjumlah RM7,500 kepada Axianergy, yang diwakili oleh Naveen Sri Kantha, Leong Chee Weng, Lim Suat Yee dan Harshinie Paranitharan daripada firma guaman Lee & Poh Partnership. - DagangNews.com








