MAHB tuntut ganti rugi RM9.1 juta terhadap kontraktor aerotrain KLIA, Alstom dan IJM-Pestech | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB tuntut ganti rugi RM9.1 juta terhadap kontraktor aerotrain KLIA, Alstom dan IJM-Pestech

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 Feb - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan tuntutan ganti rugi tertentu dan ditaksir (LAD) berjumlah RM9.1 juta susulan kelewatan projek sistem aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, beliau berkata LAD tersebut dikenakan terhadap kontraktor projek iaitu Alstom dan usaha sama IJM-Pestech Joint Venture (IPJV).

 

Menurutnya, penalti itu meliputi tempoh 91 hari dari 1 April hingga 30 Jun tahun lalu.

 

“Di bawah terma kontrak, kadar LAD ditetapkan pada RM100,000 sehari, menjadikan jumlah keseluruhan penalti RM9.1 juta,” katanya.

 

Beliau menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan-Kota Melaka) yang ingin mengetahui jumlah LAD yang dikenakan terhadap usaha sama Alstom IJM-Pestech kerana gagal menyiapkan projek aerotrain baharu dengan memuaskan.

 

Sistem aerotrain yang menghubungkan bangunan satelit dengan terminal utama itu sepatutnya kembali beroperasi menjelang 31 Mac 2025 selepas perkhidmatannya digantung pada Mac 2023 berikutan kerosakan besar yang menyebabkan penumpang terkandas di tengah landasan.


 

solar

 


Insiden tersebut berlaku ketika program penggantian sistem yang dianugerahkan kepada Pestech International Bhd pada Disember 2021, dengan Alstom sebagai pembekal tren.

 

MAHB menamatkan kontrak Pestech lima bulan kemudian atas alasan prestasi tidak memuaskan, kegagalan mencapai pencapaian projek serta risiko kelewatan lanjut.

 

Bagaimanapun, pada Januari 2024, Pestech dilantik semula bagi projek berkenaan, kali ini membentuk usaha sama dengan IJM Construction Sdn Bhd di bawah konsortium bersama Alstom.

 

Sistem tanpa pemandu itu kembali beroperasi pada Julai lalu, namun masih berdepan gangguan perkhidmatan yang mencetuskan rungutan penumpang dan orang ramai walaupun kos projek mencecah RM456 juta. - DagangNews.com