MAHB perkenal laluan baharu hubungkan Malaysia dengan Timor-Leste, Algeria & China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB perkenal laluan baharu hubungkan Malaysia dengan Timor-Leste, Algeria & China

Qingdao Airlines dari China
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus melebarkan jaringan penerbangannya dengan pengenalan tiga laluan baharu ke Asia dan Afrika sebagai satu lagi inisiatif penting menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini menyambut dua syarikat penerbangan baharu, iaitu AeroDili dari Timor-Leste dan Air Algerie dari Algeria, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) pula menerima ketibaan Qingdao Airlines dari China.

 

MAHB berkata AeroDili memulakan penerbangan terus dua kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Timor-Leste pada 28 Mac. 

 

“Laluan ini hasil usaha proaktif Malaysia Airports selepas lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste pada September 2025.

 

“Air Algerie pula membuka laluan terus KLIA–Algeria pada 30 Mac, dengan penerbangan tiga kali seminggu. Laluan ini menjadi pautan pertama secara langsung ke Afrika Utara, membuka peluang baharu dalam perdagangan dan pelancongan.

 

“Penerbangan sulung Air Algerie mendapat sambutan menggalakkan apabila tiket habis ditempah, menunjukkan potensi komersial yang tinggi dalam pasaran yang sebelum ini kurang mendapat liputan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Sementara itu, di Pulau Pinang, Qingdao Airlines memulakan penerbangan dari Qingdao, wilayah Shandong, tiga kali seminggu pada 31 Mac. 

 

Laluan ini memperluas akses Pulau Pinang kepada bandar-bandar sekunder di China dan meningkatkan pilihan perjalanan bagi penumpang.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata langkah ini sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh ekosistem penerbangan negara.

 

“Laluan baharu ini bukan sahaja meningkatkan keterhubungan tetapi turut memberi nilai ekonomi jangka panjang melalui pelancongan, perdagangan, dan mobiliti serantau.

 

“Malaysia Airports juga menekankan kepentingan pembangunan rangkaian penerbangan berdasarkan permintaan sebenar, selari dengan objektif Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

t

 

Melalui forum penerbangan global Routes, syarikat penerbangan dan lapangan terbang bekerjasama untuk membangunkan perkhidmatan udara baharu, sekaligus menarik pelabur dan rakan kongsi strategik.

 

Bagi AeroDili, kelulusan Sijil Perakuan Pengendali Udara Asing (FAOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memastikan operasi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Timor-Leste berjalan lancar.


Kedatangan Air Algerie pula melengkapkan jaringan sedia ada ke Afrika, yang sebelum ini disokong oleh Ethiopian Airlines dan Air Mauritius. Laluan ini memberi peluang kepada penumpang Malaysia untuk terus ke destinasi Afrika Utara tanpa persinggahan. - DagangNews.com