Mah Sing, KLK Land bekerjasama lancar MS Industrial Park @ Kulai dengan GDV RM2.26 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing, KLK Land bekerjasama lancar MS Industrial Park @ Kulai dengan GDV RM2.26 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis – Mah Sing Group Berhad dan KLK Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan tanah pegangan bebas seluas 419.15 ekar di Kulai, Johor, yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapore (JS-SEZ). 

 

Projek ini dinamakan MS Industrial Park @ Kulai dan dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.26 bilion.

 

Ia dirancang secara strategik untuk menyokong industri masa hadapan yang akan menjadi hab industri utama menyokong ekosistem perindustrian dan logistik Johor yang berkembang pesat.

 

Kerjasama ini menggunakan struktur usaha sama dengan Mah Sing memegang 60% ekuiti dan KLK Land 40%. 

 

Tanah tersebut dibeli pada harga kira-kira RM274 juta. Mah Sing akan mengetuai perancangan, pembangunan dan pelaksanaan projek ini.

 


Kerjasama ini membuktikan komitmen Mah Sing untuk mengembangkan portfolio hartanah industrinya selari dengan Rancangan Induk Perindustrian Baru Malaysia 2030 (NIMP 2030) menjadikan Johor sebagai hab industri dan logistik penting di Asia Tenggara.

 

t

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata usaha sama strategik ini adalah satu titik penting bagi Mah Sing yang sedang mengembangkan jejak dalam segmen industri. 

 

“Fokus kami adalah untuk membina platform integrasi industri yang menggabungkan pemain industri utama, pembekal dan rakan dalam rantaian nilai yang lebih luas. 

 

“Walaupun industri berasaskan teknologi dan berpotensi tinggi seperti pusat data, logistik dan aktiviti industri sokongan lain merupakan sebahagian daripada ekosistem ini, objektif utama adalah untuk mewujudkan persekitaran industri berintegrasi yang menjana nilai jangka panjang, menyokong transformasi industri Malaysia dan mengukuhkan pertumbuhan mampan Mah Sing. 

 

“Kami menantikan kerjasama rapat dengan KLK untuk memastikan kejayaan usaha sama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya Mah Sing telah lama beroperasi di Johor dengan melancarkan banyak bandar baharu termasuk Meridin East, Sierra Perdana, Sri Pulai Perdana, Austin Perdana dan taman industri Mah Sing i-Parc. 

 

“Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, kami juga telah memperoleh tanah untuk pembangunan kediaman bertingkat dan bertanah tinggi di Johor, seperti M Grand Minori, M Minori, M Tiara, M Tiara II, dan Tiara Hills. 

 

“Johor kekal sebagai kawasan pertumbuhan strategik untuk Mah Sing, dengan jarak yang dekat ke Singapura, sambungan yang baik dan inisiatif kerajaan seperti JS-SEZ serta Rapid Transit System (RTS) Link menjadikannya destinasi pelaburan utama kami. 

 

“Projek industri terbaharu ini selari dengan visi kumpulan untuk menyumbang kepada kebangkitan Johor sebagai hab industri dan logistik serantau,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KLK Tan Sri Lee Oi Hian berkata kerjasama tersebut selaras dengan strategi jangka panjang KLK Land untuk meningkatkan potensi tanah milik syarikat di Kulai dan membina portfolio pembangunan industri yang lebih kukuh. 

 

“Melalui kerjasama dengan Mah Sing, kami dapat memulakan pembangunan fasa pertama secara strategik yang akan membuka dan merangsang pembangunan bandar perindustrian seluas 2,500 ekar seperti yang dirancang untuk KLK Land. 

 

“Kami melihat Kulai dan kawasan JS-SEZ yang lebih luas sebagai koridor pertumbuhan penting yang menyokong landskap industri Johor yang berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.

 

t

 

MS Industrial Park @ Kulai dirancang sebagai pembangunan industri bersepadu yang merangkumi kilang, tanah industri kosong untuk gudang, hab logistik dan pusat data. 

 

Tapak ini terletak berhampiran dengan infrastruktur utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (15.8 km), Lebuhraya Utara-Selatan (10 km) dan pelabuhan utama Johor, menjadikannya mudah diakses untuk operasi logistik, pengedaran dan industri berasaskan teknologi.

 

Projek ini dijangka menjana manfaat ekonomi yang signifikan, termasuk penciptaan pekerjaan dan peluang untuk perniagaan tempatan. 

 

Pembangunan ini akan menyokong industri seperti e-dagang, pembuatan bernilai tinggi dan logistik, mengukuhkan Johor sebagai hab industri utama di ASEAN.

 

MS Industrial Park @ Kulai berada dalam jarak 50 km dari Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Johor Port, serta 40 km dari Sultan Abu Bakar CIQ (ke Tuas, Singapura) dan JB Sentral CIQ (ke Woodlands, Singapura). 

 

Ia juga mempunyai akses lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Senai-Desaru, dan Lebuhraya Pasir Gudang, memudahkan pengangkutan barangan ke pasaran domestik dan antarabangsa. - DagangNews.com