Mah Sing buka galeri jualan M Aria bernilai RM283 juta di Jalan Sultan Azlan Shah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing buka galeri jualan M Aria bernilai RM283 juta di Jalan Sultan Azlan Shah

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 NovMah Sing Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kediaman mampu milik di ibu negara apabila membuka galeri jualan bagi projek M Aria, pembangunan kediaman pegangan bebas bernilai RM283 juta GDV di Riverwalk Village, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.

 

Mah Sing dalam kenyataan hari ini berkata, galeri jualan itu dibuka kurang setahun selepas Mah Sing memperoleh tanah seluas 2.78 ekar pada harga RM32 juta, menegaskan keupayaan syarikat mengekalkan model pembangunan pantasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Voon Tin Yow berkata, kejayaan projek terdahulu berdekatan, M Centura dan M Arisa, yang masing-masing habis dijual jauh sebelum siap, menjadi pemangkin kepada pelancaran M Aria.

 

“Pembukaan galeri jualan ini, kurang setahun selepas kami memperoleh tanah tersebut, membuktikan keberkesanan model ‘fast turnaround’ Mah Sing. M Aria direka untuk menawarkan kualiti yang lebih baik, reka bentuk lebih pintar dan nilai yang lebih tinggi,” katanya.

 

Menurut Mah Sing, pelancaran rasmi M Aria di Jalan Sentul akan diumumkan kemudian.

 

Projek M Aria merangkumi 606 unit apartmen yang ditawarkan dalam dua jenis susun atur utama, iaitu Type A berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, serta Type B berkeluasan 950 kaki persegi yang menyediakan empat bilik tidur dan dua bilik air.

 

Harga indikatif jualan bermula RM498,000, menyasarkan pembeli rumah pertama, profesional muda, keluarga serta pelabur.

 

Projek ini turut menerima pensijilan sementara GreenRE Silver dan dilengkapi ciri kelestarian termasuk panel solar, sistem penuaian air hujan serta kemudahan pengecasan EV, selaras dengan komitmen Mah Sing terhadap pembangunan rendah karbon.

 

Lokasi M Aria mempunyai akses kepada rangkaian jalan utama dan lebuh raya termasuk DUKE, MRR2, Jalan Sentul, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Gombak.

 

Selain itu, projek ini turut berdekatan enam stesen rel dalam radius 4 km, termasuk MRT2 Kampung Batu, MRT2 Kentonmen, LRT Sentul Timur, LRT Sentul, KTM Kampung Batu, dan KTM Batu Kentonmen, yang meningkatkan lagi daya tarikan dan kemudahan pengangkutan bagi penduduk.

 

Mah Sing berkata, kemudahan itu memberi nilai tambah ketara kepada bakal pembeli yang memerlukan mobiliti tinggi dalam kawasan bandar.

 

M Aria turut dikelilingi ekosistem kemudahan lengkap yang memenuhi keperluan harian penduduk.

 

Dari segi pendidikan, kawasan ini berdekatan dengan pelbagai institusi termasuk SK Sentul 1 & 2, SJK(C) Peng Ming, dan SK Convent Sentul, manakala kemudahan kesihatan pula merangkumi Hospital Kuala Lumpur, KPJ Tawakkal Specialist Hospital serta pusat perubatan lain.

 

Bagi tujuan runcit, gaya hidup dan rekreasi, penduduk boleh menikmati akses mudah ke Publika, Solaris, Sunway Putra Mall, Bamboo Hills, serta destinasi rekreasi dan budaya seperti Batu Metropolitan Park, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), MITEC, dan MATRADE.

 

Keberadaan kemudahan ini menjadikan M Aria sebagai lokasi strategik dan serba lengkap untuk gaya hidup moden.

 

Dengan nilai pembangunan mencecah RM283 juta, lokasi berimpak tinggi serta 606 unit kediaman yang disasarkan kepada segmen membeli rumah pertama, M Aria dijangka menjadi penerus kepada rekod jualan kukuh Mah Sing di kawasan Sentul–Jalan Ipoh.  - DagangNews.com