KUALA LUMPUR 23 Jan — Magma Group Berhad merancang melupuskan keseluruhan 20% kepentingan ekuitinya dalam Heritage Lane Sdn Bhd pada nilai tunai RM63 juta kepada Harum Aspirasi Sdn Bhd.
Menurut kumpulan itu, langkah penjualan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi portfolio pelaburan dan mengoptimumkan penggunaan modal syarikat dalam tempoh jangka panjang.
Cadangan pelupusan itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuhnya, Astaka Mekar Sdn Bhd, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) awal bulan depan.
"Dari sudut strategik, penjualan pegangan minoriti tersebut membolehkan Magma merealisasikan nilai pelaburan bukan teras dalam bentuk tunai," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Di samping itu, langkah tersebut dijangka mengurangkan pendedahan kepada pelaburan yang tidak dikawal sepenuhnya oleh kumpulan dan hasil pelupusan berkenaan turut meningkatkan fleksibiliti kewangan.
Ia diunjur mampu menyokong keperluan operasi, mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira, atau menyalurkan semula modal kepada perniagaan teras yang menawarkan potensi pulangan lebih jelas dan mampan.
Penjualan ekuiti itu juga kata Magma, selari dengan strategi kumpulan untuk menumpukan sumber kepada segmen yang memberi kawalan operasi lebih tinggi serta tahap kecekapan pengurusan modal.
"Pelupusan kepentingan berkenaan turut dilihat tepat pada masanya, ketika perniagaan kumpulan perlu lebih mantap dalam persekitaran pasaran yang memerlukan disiplin kewangan ketat," tambahnya.
Cadangan tersebut tegasnya, melibatkan penjualan kira-kira sejuta saham biasa dan sejumlah 1,201 saham keutamaan yang tidak kumulatif, tidak boleh tukar serta boleh tebus dalam Heritage Lane.
Magma menjelaskan, urus niaga berkenaan namun perlu berdasarkan terma-terma utama tertakluk kepada perjanjian jual beli saham yang dimeterai antara kedua-dua pihak tersebut pada 10 Oktober 2025.
EGM akan bermula pukul 11 pagi di Hotel Impiana Ipoh, Perak, yang dijadualkan pada 9 Februari 2026, dengan tarikh kelayakan pemegang saham ditetapkan paling akhir 30 Januari 2026. - DagangNews.com








