MAG, syarikat penerbangan pertama Malaysia terima pensijilan ISO anti-rasuah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG, syarikat penerbangan pertama Malaysia terima pensijilan ISO anti-rasuah

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 Mei - Malaysia Aviation Group (MAG), kumpulan penerbangan pertama di Malaysia yang menerima pensijilan ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), sebagai bukti komitmen terhadap tadbir urus berintegriti dan sifar toleransi terhadap rasuah, penipuan, dan salah guna kuasa.

 

Pencapaian itu memenuhi salah satu komitmen utama MAG di bawah agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kumpulan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, sistem antirasuah yang berkesan perlu dipimpin dari peringkat tertinggi organisasi.

 

"Pensijilan ini bukan sekadar formaliti, sebaliknya pernyataan jelas mengenai sikap sifar toleransi kami terhadap rasuah, penipuan, dan salah guna kuasa. 

 

"ISO 37001 mengukuhkan kawalan dalaman merangkumi pelbagai aspek operasi seperti perolehan, penggubalan dasar, dan interaksi dengan rakan strategik sama ada di Malaysia atau pejabat antarabangsa kami.

 

"Pensijilan ini membuktikan komitmen MAG menjalankan perniagaan berteraskan integriti tinggi dan bertanggungjawab dalam menangani sebarang ketidakpatuhan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pensijilan itu merangkumi fungsi di peringkat kumpulan yang melibatkan tadbir urus, pengurusan risiko, pematuhan, kelestarian, dan kepimpinan dengan kawalan khusus untuk mengurus risiko rasuah seperti perolehan, penglibatan vendor, dan interaksi pihak ketiga.

 

Proses pensijilan disokong penuh Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan MAG, termasuk pelaksanaan penilaian risiko rasuah, penubuhan Jawatankuasa Kerja ABMS, serta pembangunan rangka kerja sistem antirasuah.

 

Inisiatif itu disokong melalui 16 sesi latihan, bengkel, dan kempen kesedaran di seluruh fungsi perniagaan utama bagi menerapkan prinsip integriti dalam organisasi.

 

MAG turut mengendalikan saluran aduan (whistleblowing) yang boleh diakses umum untuk melaporkan salah laku secara selamat dan sulit. 

 

Unit Integriti Perniagaan Kumpulan kini mempunyai dua Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), dengan rancangan melatih lebih ramai pegawai bagi memastikan sistem ABMS terus diterapkan di semua peringkat.

 

MAG juga merancang meluaskan skop pensijilan secara berperingkat merangkumi unit dan cabang perniagaan lain bagi membina perniagaan berteraskan integriti dan beretika.- DagangNews.com