MAG bakal miliki 116 pesawat, terbang ke 106 destinasi menjelang 2035 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG bakal miliki 116 pesawat, terbang ke 106 destinasi menjelang 2035

KUALA LUMPUR 3 April – Malaysia Aviation Group (MAG) merancang untuk mengembangkan armada utama mereka kepada 116 pesawat, yang akan beroperasi ke 106 destinasi menjelang tahun 2035, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan itu, Kapten Nasaruddin A Bakar.

 

Beliau berkata, strategi pengembangan armada ini selaras dengan rancangan pertumbuhan kumpulan, sekaligus mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran utama.

 

“Kami telah menerima 10 pesawat Airbus A330neo dan 14 Boeing 737-800, dan satu lagi akan diterima minggu depan.

 

“(Pengembangan ini) memastikan kami terus relevan di laluan jarak jauh utama, mengekalkan campuran armada yang kompetitif, dan memberikan kecekapan operasi,” katanya dalam ucapannya semasa pengumuman rangkaian MAG, di sini hari ini.

 

Kapten Nasaruddin berkata, penerimaan generasi pesawat baharu ini meningkatkan penawaran produk pengendali penerbangan, membolehkan MAG menyediakan pengalaman yang moden dan konsisten bagi setiap perjalanan pelanggan.

 

“Ini juga menyumbang kepada aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia Airlines dalam kalangan 10 pengendali penerbangan global teratas menjelang 2030,” katanya.

 

Sementara itu, CEO Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong, berkata, fasa pertama pemodenan armada kumpulan akan lengkap menjelang 2028, dengan jumlah keseluruhan 25 Boeing 737-800 dan 20 A330neo.

 

“Walau bagaimanapun, 20 A330neo terakhir yang kami pesan akan diterima dari tahun 2029 sehingga 2030.

 

“Selain itu, kami juga sedang menjalankan kajian mengenai cara untuk menggantikan pesawat Airbus A350 menjelang 2032,” tambah beliau.

 

Selain itu, Bryan menyatakan bahawa bagi suku pertama 2026 (1Q 2026), Malaysia Airlines mencatatkan prestasi tepat masa (OTP) purata sebanyak 88 peratus, meningkat daripada 84 peratus pada 2025.

 

“Semasa musim puncak Hari Raya baru-baru ini, kami telah melakukan lebih banyak penerbangan harian berbanding sebelumnya dan mencapai OTP hampir 92 peratus.

 

“Firefly pula telah mencapai OTP purata 92 peratus bagi 1Q 2026 dan lebih 95 peratus pada bulan Mac,” katanya. – BERNAMA