KUALA LUMPUR 23 Okt – Luckin Coffee Malaysia kini disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dua cawangan syarikat itu di Sunway Velocity 2 dan AEON Maluri.
Ketua Pegawai Eksekutif Luckin Coffee Malaysia, Dr. Jeff Lim berkata, pensijilan halal itu membolehkan pelanggan menikmati minuman tersebut dengan lebih yakin tanpa was-was.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen Luckin Coffee Malaysia dalam memastikan setiap produk yang disediakan mematuhi piawaian Halal yang ketat.
“Ini seiring dengan aspirasi negara untuk mewujudkan persekitaran yang kukuh berasaskan piawaian Halal.
“Pensijilan ini juga memperkukuhkan hubungan syarikat dengan komuniti tempatan serta membuktikan janji kami untuk menyediakan produk minuman berkualiti tinggi dan halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak mula beroperasi di Malaysia pada Januari 2025, Luckin Coffee memfokuskan keselesaan pelanggan untuk membeli kopi dengan mudah hasil kecanggihan teknolgi masa kini.
Beliau berkata, syarikat mengutamakan kemudahan, inovasi serta harga berpatutan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan tempatan.
“Sebagai jenama yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia, piawaian Halal diambil dengan serius sebagai sebahagian daripada pendekatan tempatan.
“Ia bukan sahaja memberi jaminan kepada pelanggan tetapi juga membina keyakinan terhadap keselamatan dan kualiti produk,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pematuhan Halal Luckin Coffee Malaysia, Ahmad Aminurrashid Abd Aziz berkata, syarikat telah menubuhkan pasukan khas Halal dan jaminan kualiti sebelum memasuki pasaran negara ini.
“Pasukan ini memastikan pematuhan ketat dalam semua aspek operasi, termasuk pemilihan pembekal, bahan mentah, amalan premis, serta penyediaan dan penyajian minuman.
“Usaha berterusan ini memainkan peranan penting dalam memastikan proses pensijilan Halal berjalan lancar dan tepat pada masanya.
“Semua cawangan baharu juga akan memperoleh pensijilan Halal secara berperingkat,”
Bagi meraikan pencapaian penting ini, Luckin Coffee memperkenalkan tawaran istimewa RM3.99 untuk semua minuman pada 30 dan 31 Oktober 2025. Promosi ini dilaksanakan di semua cawangan Lembah Klang kecuali Highlands Hotel, Genting, sebagai penghargaan kepada pelanggan atas sokongan mereka. - DagangNews.com








