LPPSA peroleh pembiayaan RM1 bilion daripada HSBC Amanah untuk skim perumahan penjawat awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LPPSA peroleh pembiayaan RM1 bilion daripada HSBC Amanah untuk skim perumahan penjawat awam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 NovLembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menerima pembiayaan berjumlah RM1 bilion daripada HSBC Amanah bagi menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan kepada kakitangan kerajaan.

 

Inisiatif itu adalah dana alternatif pertama LPPSA tanpa Jaminan Kerajaan (GG).

 

Dalam kenyataan hari ini, LPPSA berkata, transaksi tersebut turut merangkumi penubuhan fasiliti Pembiayaan Amaun Belum Terima Islam (RF-i), sekaligus memperkukuh strategi pendanaan badan itu dalam menyokong misi utama menyediakan pembiayaan rumah kepada penjawat awam.

 

LPPSA menjelaskan langkah tersebut sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memperluas akses pembiayaan perumahan kepada kira-kira 1.6 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara, selain menyediakan pilihan pendanaan inovatif kepada agensi sektor awam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Farid Nawawi berkata, kerjasama dengan HSBC Amanah akan membantu lebih ramai penjawat awam mencapai pemilikan rumah melalui akses pembiayaan yang lebih efisien dan mampan.

 

“Inisiatif ini mengukuhkan disiplin fiskal LPPSA sebagaimana yang digariskan dalam Akta Tanggungjawab Fiskal, di samping memastikan kakitangan kerajaan mempunyai akses kepada sumber pembiayaan bagi memiliki kediaman pada masa akan datang.

 

“Inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan menstabilkan kedudukan hutang negara dengan mempelbagaikan sumber pendanaan dan mengoptimumkan pendedahan kerajaan terhadap jaminan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, pembiayaan RM1 bilion tersebut selaras dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh akses kepada perumahan bagi penjawat awam dan menyokong pengurusan fiskal negara.

 

“Solusi ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurusan hutang kerajaan yang berkesan, tetapi turut membawa manfaat sosial dan ekonomi kepada komuniti kakitangan kerajaan,” katanya.

 

Menurut HSBC Amanah, kemudahan RF-i itu menyokong portfolio sukuk GG LPPSA sedia ada sekali gus mempelbagaikan strategi pendanaan lembaga tersebut sambil memastikan kos kewangan kekal kompetitif.

 

Langkah itu juga dijangka memperkukuh peranan LPPSA sebagai penyedia pembiayaan perumahan sektor awam yang mampan, selari dengan kerangka ekonomi MADANI kerajaan. - DagangNews.com