LPI Capital perketat dasar perlindungan bagi mengekang trend kerugian di masa depan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LPI Capital perketat dasar perlindungan bagi mengekang trend kerugian di masa depan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Okt - LPI Capital Bhd akan memperketatkan dasar pelindungan serta menggunakan model penentuan risiko dan harga baharu bagi mengekang trend kerugian di masa depan.

 

Dalam laporan prestasi kewangan suku tahunan, syarikat itu memberitahu trend tuntutan dalam segmen perubatan dan kesihatan terus meningkat akibat inflasi perubatan serta kadar penggunaan tinggi dijangka kekal sebagai beban utama kepada nisbah gabungan.

 

"LPI akan terus memantau portfolio perubatan secara dekat, merancang semula produk dan menetapkan semula harga risiko dalam julat yang diluluskan pihak berkuasa, bagi memperbaiki pengalaman tuntutan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

LPI berkata, industri insurans am dijangka berkembang secara sederhana seiring pertumbuhan ekonomi, namun berdepan cabaran tuntutan perlindungan yang meningkat, khususnya dalam segmen motor, perubatan dan bencana alam.

 

"Kekerapan serta keterukan bencana cuaca seperti banjir dijangka terus menekan hasil daripada perlindungan," katanya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, LPI mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM114.83 juta berbanding RM123.94 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh keputusan perkhidmatan insurans yang lebih rendah.

 

Namun demikian, hasil suku tahunan meningkat kepada RM549.31 juta berbanding RM499.83 juta yang dicatatkan pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24). Peningkatan sebanyak 9.9 peratus tahun ke tahun itu disumbangkan oleh prestasi lebih kukuh daripada segmen insurans am.

 

Pendapatan sesaham bagi suku tersebut menurun kepada 28.82 sen berbanding 31.11 sen pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, kumpulan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM295.98 juta, berbanding RM303.23 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.

 

Dari segi hasil keseluruhan, LPI Capital mencatatkan peningkatan kepada RM1.57 bilion berbanding RM1.44 bilion pada tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 (9MFY24). - DagangNews.com