Loji terbesar Menicon di Malaysia berharga RM1 bilion mula pengeluaran kanta lekap untuk pasaran global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji terbesar Menicon di Malaysia berharga RM1 bilion mula pengeluaran kanta lekap untuk pasaran global

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Feb - Pengeluar kanta lekap terkemuka dari Jepun, Menicon Co., Ltd. memulakan pengeluaran komersial di loji pembuatan baharunya di Kulim, Kedah, sekali gus mengukuhkan strategi pengembangan global syarikat bagi memenuhi permintaan pesat pasaran kanta lekap pakai buang sehari.

 

Loji di Malaysia itu merupakan kemudahan pengeluaran terbesar Menicon setakat ini dan dikhususkan sepenuhnya untuk pembuatan kanta lekap pakai buang harian.

 

Pembukaan tersebut hadir ketika permintaan global terhadap kanta lekap 1-Hari terus meningkat, dalam keadaan industri berdepan kekangan bekalan yang meluas.

 

Menicon berkata, loji baharu itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap kecemerlangan teknologi, kawalan kualiti yang ketat serta kestabilan rantaian bekalan global.

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan sepanjang tempoh pandemik COVID-19, syarikat meneruskan pelaburan modal yang signifikan bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran.

 

Bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan, loji Malaysia itu dijangka mencapai kapasiti pengeluaran sehingga 500 juta kanta setahun.

 

Pelan pembinaan telah dirangka secara strategik sehingga Fasa 4, membolehkan pengembangan selanjutnya sejajar dengan permintaan pasaran masa hadapan.

 

Dengan pemasangan barisan pengeluaran tambahan, kemudahan itu disasarkan mampu menghasilkan sehingga 2 bilion kanta lekap setahun pada masa akan datang.

 

Dalam masa yang sama, Menicon turut memperkukuh kapasiti pengeluaran kanta lekap pakai buang di kemudahannya di Singapura serta di kilang Kakamigahara di Jepun.
 

menicon


Pada tahun kewangan 2024, syarikat menghasilkan kira-kira 400 juta kanta lekap pakai buang dan merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sekitar 1.5 kali ganda melalui strategi pengembangan pelbagai lokasi, sebelum meneruskan peluasan lanjut bagi memenuhi permintaan global.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Menicon, Koji Kawaiura berkata, permulaan pengeluaran komersial di Malaysia menandakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan bekalan global syarikat.

 

“Pelancaran Loji Malaysia merupakan satu langkah besar dalam meningkatkan bekalan kanta lekap 1-Hari kami, iaitu segmen yang mencatat pertumbuhan permintaan yang sangat pantas di peringkat global,” katanya.

 

“Kemudahan ini juga akan membolehkan Menicon mempercepatkan kerjasama strategik global bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat.”

 

Menurut Menicon, loji Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membekalkan produk berkualiti tinggi kepada pasaran Eropah, Amerika Utara, Jepun serta pasaran global lain. Pengeluaran di kemudahan itu menggabungkan ketelitian pembuatan Jepun serta teknologi proprietari SMART TOUCH™ milik syarikat.

 

Seiring pertumbuhan berterusan pasaran kanta lekap 1-Hari global, Menicon menyasarkan untuk terus mengukuhkan kehadiran antarabangsa dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada masyarakat melalui penyediaan penjagaan penglihatan yang lebih baik di seluruh dunia. - DagangNews.com