KUALA LUMPUR 13 Ogos – Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Malaysia mencatatkan 98.82 peratus setakat 31 Julai, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dari segi liputan 5G, Digital Nasional Bhd (DNB) telah menyiapkan sebanyak 7,489 tapak pemancar sekali gus menyediakan liputan 82.4 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara.
“Selain itu, jumlah langganan telah melebihi 28 juta dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih 5G bagi setiap 100 penduduk pada paras 82.7 peratus.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal komited menyokong aspirasi merapatkan jurang digital dan memperluas liputan internet termasuk perkhidmatan 5G di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang meminta penjelasan terkini berhubung kemajuan dan butiran program pelaksanaan 5G kerajaan serta strategi memperluaskan lagi liputan ke kawasan luar bandar.
Mengenai rangkaian 5G kedua, Fahmi berkata pelaksanaan yang dikendalikan oleh U Mobile telah bermula pada 14 Julai dengan sejumlah 1,232 tapak dinaik taraf kepada liputan 5G.
“Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) 1 dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2025 manakala pelan Jendela 2 kini dalam peringkat dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh MCMC pada suku keempat 2025.
“Ini memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah penyampaian perkhidmatan yang sesuai serta kapasiti Dana Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) untuk membiayai perbelanjaan modal dan operasi projek. Senarai lokasi projek sedang dikenal pasti.
“Jenis penyelesaian penyampaian perkhidmatan yang sedang dipertimbangkan pada peringkat perancangan ini termasuk pembinaan menara baharu dan penyediaan perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit,” katanya. - DagangNews.com








