KUALA LUMPUR 2 Julai – Penyedia perkhidmatan marin luar pesisir, Lianson Fleet Group Bhd (LFG) terus memperkukuh strategi pembaharuan armadanya dengan penjualan kapal miliknya, Omni Victory, kepada Huashun Shipping (Liberia) Inc bernilai RM32.02 juta (US$7.6 juta).
Perjanjian itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoA) antara Omni Victory (L) Inc bersama Shenzhen Huawei Offshore Shipping Transport Co Ltd.
Kapal Omni Victory yang berdaftar di Malaysia, adalah kapal tunda sokongan dan pengendalian sauh yang dibina pada tahun 2010, dengan muatan 2,524 tan dan 'bollard pull' 108 tan.
LFG memperoleh kapal tersebut pada Mac 2011 pada harga RM65.8 juta, manakala nilai buku bersihnya setakat 31 Mei 2025 ialah RM22.57 juta.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, LFG berkata, pelupusan itu adalah sebahagian strategi jangka panjangnya untuk memperbaharui armada, menambah kecekapan operasi, dan mengembangkan portfolio aset syarikat di luar segmen kapal sokongan luar pesisir.
"Syarikat dijangka menjana keuntungan bersih sekitar RM8.15 juta hasil daripada pelupusan ini.
"Penjualan ini dilakukan atas dasar 'willing-buyer, willing-seller’ dengan penilaian terkini US$5.7 juta pada Disember menjadikannya sebagai harga jualan semasa yang kompetitif.
"Tiada liabiliti ditanggung mahupun sebarang jaminan diberikan dalam urus niaga ini," katanya.
Pelupusan Omni Victory itu juga adalah selaras dengan inisiatif pembaharuan dan pemodenan armada LFG yang sedang giat dilaksanakan, seiring dengan penjenamaan semula syarikat ke arah menjadi pemain pelbagai kelas aset dalam industri perkapalan dan tenaga.
Langkah ini memberi ruang kepada LFG untuk menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang berubah serta menembusi pasaran-pasaran baharu.
"Hasil jualan kapal akan digunakan untuk tujuan korporat am serta menyokong inisiatif pertumbuhan syarikat.
"Urus niaga ini tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham utama LFG, tetapi dijangka akan memberikan impak positif kepada keuntungan bersih, nilai aset bersih dan kedudukan hutang bagi tahun kewangan semasa," katanya. - DagangNews.com








